Serba Dinamik pilih pengarah lebih berpengalaman, lebih matang | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik pilih pengarah lebih berpengalaman, lebih matang

Pengerusi Lembaga Pengarah Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Ilyas Mohamed 

 

 

SHAH ALAM 27 Jun - Tiga nama calon yang dikenal pasti sebagai pengarah syarikat Serba Dinamik Holdings Berhad merupakan individu berpengalaman dan lebih matang dalam membuat keputusan.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Ilyas Mohamed berkata, tiga nama telah dikenal pasti dan akan dikemuka kepada Bursa Malaysia sebelum mengumumkan mereka secara rasmi.

 

"Mereka ini mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perbankan kewangan Islam, undang-undang dan tadbir urus korporat serta integriti," kata beliau, seperti dilapor oleh Berita Harian.

 

Beliau mengulas peletakan jawatan lima Pengarah Bebas yang menyatakan alasan mereka sebagai tidak bersetuju dengan isu membabitkan KPMG dan syarikat.

 

Ilyas Mohamed berkata, peletakan jawatan lima Pengarah Bebas semalam, sebagai sesuatu yang `sudah dijangka'.

 

"Ini kerana mereka tidak memberi kerjasama dalam mesyuarat Lembaga Pengarah, termasuk dengan tidak menghadiri mesyuarat walaupun mengetahui syarikat berdepan isu sebegini.

 

"Dalam masa yang sama juga, syarikat termasuk Pengarah Bebas sebelum ini sememangnya sudah bersetuju membuat rombakan ke atas Lembaga Pengarah sedia ada.

 

"Keputusan yang diambil (menyaman KPMG) adalah berdasarkan majoriti sokongan dan jika mereka tidak bersetuju dengan tindakan ini, mereka sepatutnya hadir dan bukannya berdiam dan protes di sebalik tabir," kata beliau.

 

Kenyataan Ilyas Mohamaed itu konsisten dengan jawapannya semasa sidang media Selasa lalu, bahawa Pengarah Bebas tidak mengambil apa-apa tindakan untuk membantu pihak pengurusan dalam menyelesaikan perkara itu dengan serius.

 

"Jika mereka ini cekap dan tahu peranan mereka, masalah ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya, malah mereka juga tidak memainkan peranan mereka sebagai pengarah bebas.

 

"Ini jelas dilihat apabila mereka tidak mengendahkan permintaan IIC untuk bersemuka dengan menerangkan perkara sebenar. Adakah mereka ini mengambil berat tentang para pemegang kepentingan lain atau mereka ada agenda lain hinggakan masalah berlarutan sehingga kini," jelas Pengerusi itu lagi.

 

Selain itu juga, Ilyas Mohamed menjelaskan bahawa Lembaga Pengarah bersama pengurusan dalam peringkat lanjutan untuk melantik juruaudit luaran yang baru. - DagangNews.com