Sersol jangka usaha sama dengan Takuni Group dapat jana jualan bernilai RM900 juta | DagangNews Skip to main content

Sersol jangka usaha sama dengan Takuni Group dapat jana jualan bernilai RM900 juta

KUALA LUMPUR 1 Nov - Sersol Berhad menjangkakan kerjasamanya (JV) dengan pakar motosikal tenaga dan kenderaan elektrik (EV) dari Thailand, Takuni Group PCL mampu menjana jualan RM900 juta di seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand.

 

Pengarah Urusannya,  Datuk Justin Lim Hwa Tat berkata, kerjasama itu yang dimeterai di Bangkok turut mengumumkan kepelbagaian portfolio pelaburan Sersol untuk menggabungkan entiti Malaysia bagi mengendalikan pembuatan, pemasaran dan pengedaran bateri motosikal EV, bateri EV dan platform pengecasan di seluruh rantau ini.

 

"Syarikat JV itu merancang untuk menguasai 10% pertumbuhan pasaran yang diramalkan dalam segmen-segmen skuter dan motosikal di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

 

"Peningkatan penggunaan e-skuter dan motosikal dalam aplikasi penghantaran kurier dan e-dagang serta  harga bateri yang lebih rendah ditawarkan kepada pengguna adalah pemacu pertumbuhan dalam kedua-dua segmen berkenaan," katanya, lapor Bernama.

 

Menurut laporan Meticulous Market Research Pvt. Ltd, pasaran e-skuter dijangka mencatatkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) sebanyak 28.9% dari 2022 hingga 2029 untuk mencecah AS$625.03 bilion (RM2.96 trilion) menjelang 2029.

 

Bagi meningkatkan penggunaan tenaga hijau untuk motosikal EV dan e-skuter, Hwa Tat berkata, kerjasama itu akan menyumbang kepada mempercepatkan mandat peralihan tenaga boleh diperbaharui di beberapa negara di Asia Tenggara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

sersol
Datuk Justin Lim Hwa Tat dan Ketua Pegawai Eksekutif Takuni, Nita Treeweeranuwat memeterai perjanjian dalam satu majlis di Bangkok.

 

"Kami memenuhi keperluan kritikal pada masa ini dalam krisis tenaga dan iklim global yang berterusan. Dalam menggabungkan sumber dan keupayaan kami, kelebihan daya saing Sersol dan Takuni terkandung dalam keupayaan kami untuk melaksanakan pengumpulan kredit karbon.

 

"Selain itu, kami merancang untuk menawarkan program penyewaan untuk basikal e-hailing di tiga pasaran ini," katanya.

 

Beliau berkata, syarikat JV baharu itu secara tidak langsung turut memperluaskan kekuatan  Takuni Group dalam menyediakan perkhidmatan komprehensif, memfokuskan pada penyimpanan tenaga.

 

Katanya, syarikat usaha sama itu akan memperkenalkan stesen pengecasan swap bateri yang mana pengguna boleh menukar bateri dengan cepat tanpa menunggu untuk mengecas semula.

 

Langkah-langkah ini dijangka dapat mempercepatkan penggunaan e-skuter dan motosikal EV di ketiga-tiga negara.

 

Beliau menjangkakan kemudahan pengecasan akan menjadi faktor kejayaan penting bagi perniagaannya.

 

“Melalui usaha sama ini, kami akan dapat memanfaatkan storan tenaga dan meningkatkan kualiti dan kecekapan bateri serta menghasilkan platform pengecasan berkualiti tinggi untuk motosikal EV dan e-skuter,” katanya sambil menambah JV Sersol-Takuni itu akan turut membina kilang bateri di Malaysia. - DagangNews.com