KUALA LUMPUR 20 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan SFP Tech Holdings Berhad merekodkan keuntungan besar berturut-turut bagi FY23 dan FY24 hasil sumbangan positif daripada EST Exhibit Automation Sdn. Bhd. (EEASB) dan penyiapan Loji Pembuatan 3.
Firma itu berkata, loji itu terdiri daripada kilang dan gudang tiga tingkat dengan bangunan pejabat tiga tingkat dengan keluasan binaan kira-kira 319.2k kaki persegi dan penambahan 41 mesin pengilangan kawalan kerangka komputer (CNC) baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Ini akan meningkatkan jumlah mesinnya dan secara kumulatif meningkatkan kapasiti pengeluaranpengeluaran maksimum syarikat sebanyak kira-kira 25.3% daripada 520,400 jam setahun kepada 652,100 jam setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpula itu merekodkan untung bersih teras bagi 4QFY22 sebanyak RM9.2 juta dan keuntungan bersih teras FY22 sebanyak RM31.2 juta selepas membuat pelarasan untuk tukaran mata wang asing, keuntungan daripada pemerolehan dan perbelanjaan penyenaraian.
Firma itu berkata, hasilnya melebihi jangkaan tetapi berada dalam konsensus masing-masing pada 108%/101% daripada ramalan tahun penuh dan konsensus.
"Kami percaya perbezaan utama terhadap anggaran kami adalah disebabkan terutamanya oleh sumbangan yang lebih baik daripada jangkaan daripada segmen pemasangan mekanikal kumpulan," katanya.
Firma itu menyemak naik unjuran untung bersih bagi FY24 sebanyak 11% dengan mengambil kira andaian pertumbuhan hasil yang lebih tinggi untuk segmen AES kumpulan.
"Kami mengekalkan sarana 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.37 sesaham," katanya. - DagangNews.com