SFZ Forest City dicadang dilaksanakan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura oleh kerajaan Johor | DagangNews Skip to main content

SFZ Forest City dicadang dilaksanakan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura oleh kerajaan Johor

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kerajaan Johor bercadang untuk meletakkan inisiatif Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, perkara itu telah dibincang di peringkat negeri dan akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa JS-SEZ.

 

"Berdasarkan pelan induk Forest City yang dilancar pada 2016, matlamatnya adalah bagi membangunkan kawasan itu sebagai zon integrasi perkhidmatan penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan juga hartanah.

 

 

"Ada perancangan menjadikan Forest City sebagai zon bebas cukai pada waktu itu, dan kini pindaan telah dibuat dengan bantuan kerajaan pusat. Langkah itu bakal menjadikan pulau satu Forest City sebagai pulau bebas cukai.

 

"Pengumuman berhubung pelaksanaan SFZ Forest City ini dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira setahun lalu dan pelbagai usaha telah digerakkan sejak itu," katanya.

 

 

JS-SEZ

 

 

Menurut Lee, Forest City dipilih bagi pelaksanaan SFZ adalah berdasarkan beberapa faktor termasuk lokasi strategik selain perancangan bersesuaian dengan naratif asal pembangunan kawasan berkenaan.

 

"Satu sektor baharu yang ditambah dalam pembangunan Forest City adalah sektor kewangan di mana ia selari dengan infrastruktur yang dibangunkan di situ dan itu antara sebab kita cadangkan SFZ di Forest City dan kini perancangan itu sedang giat dijalankan.

 

"Lokasi berhampiran dengan Singapura yang merupakan hab kewangan dan logistik antarabangsa rantau ini adalah kelebihan dan peluang buat Forest City menjadi pelengkap kepada republik itu. Fokus kita adalah membantu pelabur melabur ke SFZ Forest City, untuk itu kita perlu perkukuh perkara asas seperti tenaga kerja berkemahiran dan kesalinghubungan antara kawasan," katanya.

 

Lee berkata, majoriti industri kewangan Johor masih bersifat konvensional dan kerajaan negeri komited meningkatkan lanskap ekonomi itu dengan melibatkan penyertaan industri seperti sistem perbankan moden.

 

Katanya, langkah itu akan membolehkan Johor menjadi pelengkp kepada industri kewangan di Singapura sekali gus membolehkan kerajaan negeri membangunkan industri ekonomi baharu di Johor melalui SFZ Forest City.

 

"Kita jangka lebih banyak maklumat berkenaan pemberian insentif untuk SFZ dijangka akan diumum menjelang akhir bulan ini iaitu sebelum perjanjian JS-SEZ ditandatangani Malaysia dan Singapura.

 

"Kita juga cadangkan SFZ Forest City menjadi sebahagian inisiatif JS-SEZ, jadi apa sahaja insentif dinikmati melalui JS-SEZ akan turut dinikmati dengan SFZ.

 

"Jika langkah ini berjaya dibuat, ia akan memperkukuh hubungan kedua-dua pihak sekali gus membolehkan Malaysia mengadakan lebih banyak kerjasama ekonomi dengan Singapura pada masa depan," ujarnya.

 

Menurut beliau, antara cara pembangunan ekonomi yang dikaji termasuk bagi membolehkan pelaburan asing Singapura meluaskan rangkaian perniagaan mereka dengan membuat pelaburan dan membuka pejabat di Forest City.

 

JS-SEZ

 

Tambahnya lagi, pelbagai sektor perindustrian sedang dibincang antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan, syarikat kewangan serta pengurus dana tempatan dan luar negara sejak pengumuman SFZ Forest City dibuat.

 

"Majoriti mereka bertanya tentang insentif dan produk bersesuaian yang boleh ditawarkan, jadi kita juga sedang membangunkan sektor khas yang unik untuk mereka di Forest City.

 

"Kita mahu syarikat antarabangsa jadikan Forest City sebagai lokasi pelancaran produk bagi menembusi pasaran antarabangsa," jelasnya sambil menambah apabila pengumuman insentif dibuat, syarikat kewangan antarabangsa dijangka akan mula melabur masuk. - DagangNews.com