Shahnaz Al-Sadat dicalonkan sebagai finalis anugerah Asia Education Medal | DagangNews Skip to main content

Shahnaz Al-Sadat dicalonkan sebagai finalis anugerah Asia Education Medal

Diasaskan oleh T4 Education dan HP, anugerah baharu ini akan diberikan kepada individu dengan pencapaian cemerlang, yang menunjukkan impak, kepimpinan dan sokongan dalam bidang pendidikan
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Shahnaz Al-Sadat, Pengerusi LeapEd Services Sdn Bhd, telah dicalonkan sebagai sepuluh Finalis bagi Asia Education Medal yang julung kali diadakan.

 

Diasaskan pada tahun ini oleh T4 Education dan HP, anugerah baharu ini akan diberikan kepada individu dengan pencapaian cemerlang, yang menunjukkan impak, kepimpinan dan sokongan dalam bidang pendidikan.

 

Asia Education Medal mengiktiraf usaha keras individu yang mentransformasikan pendidikan merentasi benua – meraikan kisah mereka yang membawa perubahan supaya dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut sama mencipta perubahan. Ia dianugerahkan kepada individu hebat yang telah menunjukkan impak, kepimpinan dan sokongan dalam bidang pendidikan.

 

Pemenang Asia Education Medal akan dijemput untuk menghadiri World School Summit yang akan diadakan di Dubai pada 23-24 November, bagi mengenal pasti keperluan mendesak untuk menyelesaikan krisis pengambilan dan pengekalan guru dalam menangani jurang pembelajaran, dan pemenang layak untuk mencalonkan sekolah pilihan mereka sebagai ahli program Best School to Work, oleh T4 Education.

 

 

iktisad

 

 

Shahnaz Al-Sadat merupakan Pengerusi LeapEd Services Sdn Bhd di Malaysia, sebuah perusahaan sosial yang telah menerima pengiktirafan dan Penyedia Perkhidmatan Pendidikan tempatan yang pertama di Malaysia. LeapEd telah melaksanakan program transformasi pendidikan dan projek yang menyokong sistem, pemimpin sekolah, guru, murid, ibu bapa dan komuniti yang lebih luas.

 

Di LeapEd Services, Shahnaz Al-Sadat telah menerajui Program Sekolah Amanah, di mana LeapEd menjadi rakan kongsi kerajaan Malaysia dan Organisasi Tangungjawab Sosial-Korporat (CSR) untuk memantapkan sekolah merentasi pelbagai konteks: di luar bandar, di bandar, pendidikan agama, vernakular dan masyarakat peribumi. LeapEd menekankan pembangunan holistik yang telah membawa kepada pemupukan kemahiran kehidupan yang penting dalam kalangan murid, membolehkan mereka untuk cemerlang, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dibekalkan dengan kemahiran penting untuk berjaya pada abad ke-21.

 

LeapEd telah bekerjasama dengan 1,000 sekolah awam dan 200,000 murid, mewakili 10% sistem sekolah di Malaysia, dan hasilnya, telah mempengaruhi kemenjadian murid dalam keseluruhan sistem pendidikan. Contohnya, inisiatif TS25 oleh Kementerian Pendidikan yang merangkumi 10,000 sekolah, telah direka bentuk berdasarkan program perkongsian pengetahuan LeapEd (PreSTasi), berdasarkan model Program Sekolah Amanah.

 

Organisasi Shahnaz Al-Sadat ini turut memberi sumbangan dalam memperkasakan pendidik dan pemimpin sekolah. Melalui program pembangunan profesional dan inisiatif mentor, LeapEd membekalkan pendidik dengan pengetahuan, kemahiran, dan sumber yang diperlukan untuk menyampaikan pengajaran dan kepimpinan berkualiti tinggi, serta memupuk budaya penambahbaikan berterusan yang tulen.

 

Kompetensi Pengajaran dan Kepimpinan Sekolah telah ditambah baik sebanyak lebih daripada 60% berdasarkan penilaian asas mereka sepanjang 3 – 5 tahun tempoh intervensi, membawa sekolah ke tahap peluasan yang boleh menjadi penanda aras di peringkat global. Contohnya, sebuah Sekolah Amanah (SK Kempadang) telah menjadi Finalis 3 teratas dalam angerah World’s Best School bagi kategori Inovasi pada tahun 2022.

 

 

iktisad

 

 

Shahnaz Al-Sadat juga merupakan pengasas Arise Asia, sebuah perkhidmatan sosial yang telah membantu pelbagai projek untuk menangani ketidakseimbangan sosial, dan merupakan Pemegang Amanah Pengasas Teach for Malaysia, yang merupakan rangkaian Teach For All.

 

Inisiatif terbaharu beliau adalah pelancaran sekolah digital pertama di Malaysia, iaitu Sekolah Anak Malaysia (SAM Education). Sasaran SAM adalah untuk menyediakan pendidikan berkualiti melangkaui sempadan bagi memperkasakan setiap kanak-kanak dengan pembelajaran digital yang khusus, yang menerapkan nilai-nilai Malaysia dengan perspektif global.

 

Impak Shahnaz Al-Sadat terhadap landskap pendidikan tidak dapat ditandingi. Advokasi beliau amat berpengaruh di peringkat tempatan, serantau dan kebangsaan, dengan mempromosikan kesamarataan, kebolehcapaian dan pendidikan berkualiti. Komitmen beliau telah memantapkan peluang dan keberhasilan pendidikan, khususnya terhadap golongan minoriti dan komuniti yang terabai.

 

Shahnaz Al-Sadat, Pengerusi LeapEd Services Sdn Bhd, berkata, “Saya komited untuk menambah baik kualiti pendidikan kerana setiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan masa hadapan yang gemilang. Generasi masa hadapan memerlukan bekalan untuk membentuk dunia yang lebih baik”

 

Tan Sri Azman Haji Mokhtar, Pengerusi, Pusat Kewasangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Ahli Lembaga Pengarah dan Pengarah Urusan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Khazanah Nasional Berhad (2004-2018), berkata, “Sumbangan dan pencapaian Shahnaz dalam bidang pendidikan di Malaysia dengan pengalaman profesional selama lebih 30 tahun adalah sangat panjang dari segi kualiti dan kuantiti.

 

“Beliau sangat percaya bahawa bakat, bukan seperti peluang, ia diagihkan merentasi semua komuniti dan demografik, dan ini, menjadi teras usaha beliau. Saya menjadi saksi utama beliau, semenjak mengenali beliau dalam tempoh lebih 20 tahun, termasuk semasa menjadi pengurus beliau dan bagi saya, beliau layak untuk dinobatkan sebagai pemenang dalam anugerah berprestij ini”

 

Mayank Dhingra, Pemimpin Kanan Pendidikan di HP, berkata, “Tahniah kepada Shahnaz Al-Sadat, dari Malaysia atas pencalonan sebagai Finalis, Asia Media Education 2024. Semangat dan dedikasi beliau dalam mentransformasikan pendidikan akan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk mengikuti jejak langkah beliau dalam membina sebuah dunia dengan kualiti pendidikan yang boleh diakses oleh semua.

 

“HP mempunyai matlamat yang jitu untuk memacu kesamarataan digital bagi 150 juta orang di peringkat global menjelang 2030. Hanya dengan penggabungjalinan dan penyelarasan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO), kerajaan, pendidik dan perniagaan, kita dapat benar-benar menambah baik persekitaran pendidikan. Asia Education Medal menghimpunkan semua individu yang telah mentransformasikan pendidikan di Asia, dan daripada usaha mereka ini, kita semua perlu mengambil pengajaran supaya kita dapat mencapai Matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2030.”

 

Vikas Pota, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif T4 Education, berkata, “Asia Education Medal memberi penghormatan kepada mereka yang membawa perubahan di tempat yang memerlukan perubahan. Di mana jurang pembelajaran kekal berterusan dan ketidaksamarataan terus wujud.

 

“Jika kita ingin menangani cabaran-cabaran yang sangat besar ini dan membentuk masa hadapan yang cerah di benua ini, kita perlu membina sebuah komuniti pemimpin daripada setiap bidang masyarakat yang komited terhadap transformasi pendidikan. Masyarakat di Asia dan di seluruh dunia perlu mengambil pengajaran daripada kisah inspirasi dan sumbangan penting oleh pemimpin seperti Shahnaz Al-Sadat ini, demi generasi akan datang.”

 

 

infiniti

 

 

T4 Education adalah sebuah platform global yang menghubungkan komuniti, yang terdiri daripada lebih 200,000 orang guru dari lebih 1,000 negara untuk mentransformasikan pendidikan. Dari aplikasi T4 Communities ke program Best School to Work, anugerah, wawasan, dan acara, kami menyediakan pembangunan profesional dan peluang kepada guru dan pemimpin sekolah untuk belajar, berkongsi, dan menjalinkan rangkaian hubungan dengan rakan sejawat dari seluruh dunia.

 

Asia Education Medal adalah satu daripada tiga World Education Medal yang ditubuhkan oleh T4 Eduction dan HP. Asia Education Medal menyertai Africa Education Medal, yang ditubuhkan pada 2022 dan telah berkembang menjadi anugerah pendidikan paling berprestij di Afrika, serta  anugerah baharu, Latin America Education Medal yang turut dilancarkan pada tahun ini.

 

Pemenang akan diumumkan pada bulan Oktober. Mereka akan dipilih oleh Juri yang terdiri daripada individu terkemuka berdasarkan kriteria yang ketat. - DagangNews.com