KUALA LUMPUR 16 Julai - Penjualan produk secara 'shoppertainment' merangkumi maklumat dan video pendek akan menjadi pilihan utama kepada pembeli ketika ini.
Ketua Pemasaran Perniagaan TikTok bagi Asia Tenggara, Ng Chew Wee berkata, fenomena baharu itu akan mengubah corak pembelian dalam talian kerana ia merangkumi semua maklumat dalam satu masa.
Beliau berkata, ia sekali gus menjadikan platform video pendek TikTok sebagai pemacu utama bagi peniaga untuk pemasaran produknya kepada pelanggan.
Katanya, perancangan lengkap daripada TikTok membolehkan peniaga merancang strategi penjualan dan pemasaran mereka untuk memenuhi kehendak pembeli.
"Video pendek mempercepat langkah untuk penjualan. Platform kami menjadi media yang paling hebat untuk mempengaruhi kepercayaan dan tingkah laku pembeli.
"Kajian Keaslian Global Nielsen menunjukkan bahawa 83% pengguna lebih suka melihat iklan video dari jenama berbanding gif atau siaran teks.
"Berkat digitalisasi yang pesat dan penggunaan yang semakin meningkat oleh pembeli, video pendek menjadi format pilihan bagi jenama untuk menghasilkan lebih banyak tarikan dengan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.
Chew Wee berkata, pengguna ketika ini juga bersedia untuk menemui jenama baharu dan membuat pembelian yang tidak dirancang.
Beliau berkata, terdapat perubahan dalam cara berbelanja, dengan ramai yang memilih untuk membeli secara dalam talian bagi menikmati kemudahan dan pelbagai produk.
Katanya, jenama atau peniaga yang kecil atau baharu harus melipatgandakan usaha pemasaran semasa penjualan mega kerana pembeli lebih bersedia untuk menemui dan mencuba jenama baharu.
Berdasarkan tinjauan TikTok kepada lebih daripada 1,800 pengguna Asia Tenggara pada Mac 2021, 82 peratus melaporkan membeli jenama baru dan bukannya jenama biasa semasa penjualan mega.
Justeru katanya, TikTok membantu mewujudkan pengalaman penjualan mega yang menyeronokkan, kreatif dan menghiburkan bagi menjalin hubungan pengguna dengan jenama.
"Dengan pelbagai ciri pemasaran seperti Branded Effect, Hashtag Challenges dan Livestreams, jenama di Malaysia dapat terus menghubungkan dan menggembirakan pelanggan melalui video pendek.
"Berdasarkan Kajian Pemasaran Keaslian Global oleh Nielsen pada April 2021, sebanyak 91% pengguna mendapati kandungan di TikTok unik atau berbeza dengan pesaing," katanya. - DagangNews.com