Siasatan LCS mesti diteruskan, pendakwaan sebelum ini tidak cukup - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Siasatan LCS mesti diteruskan, pendakwaan sebelum ini tidak cukup - PM Anwar

KUALA LUMPUR 14 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa siasatan berhubung isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) mesti diteruskan kerana pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan.

 

Beliau berkata, pendakwaan sebelum ini juga tidak bertindak kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.

 

“Arahan saya, siasatan mesti diteruskan termasuk LCS kerana saya rasa tindakan sebelum ini tidak cukup untuk membongkar dan bertindak terhadap orang utama yang dikatakan terlibat dalam kes ini… jadi biar siasatan diteruskan,” katanya, lapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, mengenai keseriusan kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap tata kelola yang tidak telus termasuk LCS.

 

Perdana Menteri berkata, perkara itu telah disampaikan  kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk tindakan lanjut dan badan berkenaan memaklumkan akan ada pendakwaan peringkat kedua.

 

Beliau juga menegaskan, arahannya kepada badan-badan penguatkuasaan termasuk SPRM adalah menyeluruh.

 

pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

“Sebab itu ada Ketua Bahagian UMNO Shah Alam yang didakwa tetapi tidak difokus. Maknanya sesiapa sahaja yang didapati oleh SPRM dan buktinya kukuh oleh Peguam Negara harus terima kenyataan pendakwaan,” katanya.

 

Beliau turut mengulangi pendirian tidak akan campur tangan dalam sebarang kes pendakwaan di mahkamah melibatkan pemimpin tertentu termasuk mengurangkan atau mengetepikan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Selain itu, Anwar turut mempersoal tohmahan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang yang mengaitkannya dengan pendakwaan tertentu. 

 

“Kena ingat, sebagai muslim bertanggungjawab, adakah anda yakin dan ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa. Kalau tiada itu zalim jawabnya, guna nama agama dan fitnah orang, sebut nama saya.

 

“Saya tidak campur tangan, boleh tanya SPRM dan Peguam Negara, malah arahan daripada saya apa pun tindakan yang dilakukan mesti berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong. Tetapi jangan aniaya, jangan ada satu alasan yang longgar yang boleh dicabar dan dipertikai,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau berkata jangan mudah menghukum dirinya kerana beliau bukan seorang ahli politik murahan.

 

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi menjamin tata kelola yang baik termasuk menghentikan semua kaedah perundingan terus sebaliknya diurus melalui tender.

 

Beliau mengakui memang terdapat keperluan dalam negara untuk mengagihkan projek kepada kontraktor bumiputera, tetapi ia juga perlu melalui proses tender atau tender terhad selain peruntukan secukupnya kepada golongan yang memerlukan.

 

Beliau juga memaklumkan, seramai 475 orang Ketua Pegawai Digital (CDO) juga dilantik bertindak sebagai peneraju pendigitalan di agensi dalam usaha penambahbaikan tata kelola kerajaan dalam pendigitalan sektor awam.

 

Menurutnya, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) turut ditugaskan semula untuk memberi perhatian dari sudut perancangan dan pengurusan tadbir selain menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Cloud Framework Agreement (JPPCFA). - DagangNews.com