Sikap orang normal terhadap OKU masih lemah | DagangNews Skip to main content

Sikap orang normal terhadap OKU masih lemah

Kemudahan tempat mengambil wuduk dan kerusi roda bermotor disediakan di  Masjid Universiti Malaysia Pahang. - Gambar UMP

 

 

Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor
Kolumnis DagangNews.com

 

SIKAP orang yang normal kepada Orang Kurang Upaya (OKU) masih lagi perlu kesedaran yang tinggi. Kebanyakan orang normal hanya memandang tanpa prihatin dan simpati tanpa melayan seperti orang sempurna.

 

Kelemahan dan kekurangan, sama ada mental atau fizikal bukanlah tiket untuk melayan sambil lewa malah ada yang menghina OKU.

 

Ada riwayat tentang Rasululah SAW yang didatangi Ummu Maktum yang cacat penglihatan. Waktu itu Rasulullah SAW sedang sibuk melayani orang-orang Quraish dan mendakwah untuk agama Islam. Rasululah apabila memandang Ummu Maktum  memalingkan kerana ingin menumpukan perhatian.

 

Allah pun mewahyukan ayat 1-11, Surah Abasa di atas kejadian yang bermaksud,

“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya! Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi, maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya.

Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). ”

 

Diriwayatkan selepas turunnya ayat-ayat itu, Rasulullah SAW segera mengalihkan perhatiannya kepada Ummu Maktum.

 

Orang sempurna mesti melayan seseorang walaupun dia seorang OKU dengan sebaiknya.  Terutama kalau mendekati bagi tujuan untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang agama.

 

Orang sempurna mesti menerima OKU sebagai sebahagian dari ahli masyarakat. Kehadiran OKU bukanlah untuk dihina atau diketawakan namun untuk difahami dan dibantu.

 

Kemudahan yang diperlukan seperti tandas khas, tempat letak kereta dan laluan yang mudah untuk ke mana sahaja atau untuk melakukan apa sahaja.

 

LM350

 

Memang telah ada khas untuk OKU tetapi kewujudannya tidak meluas dan selalunya kemudahan ini disalahguna oleh orang-orang yang sempurna.

 

Apakah menyediakan laluan untuk kerusi roda yang bersesuaian? Apabila sedang beratur untuk membayar bil dan mengharapkan OKU itu beratur sama?

 

Apalagi rumah-rumah ibadat mesra OKU terutama di bulan Ramadan? Apakah masjid menyediakan tempat letak kereta untuk OKU?

 

Adakah laluan kerusi roda untuk OKU bersolat berjemaah di Hari raya? Apakah ada kelas-kelas untuk mendapatkan bimbingan? Bolehkah yang buta pergi ke masjid untuk belajar membaca al-Quran?

 

Bolehkah yang cacat pendengaran pergi ke masjid untuk diberi maklumat tentang Islam dengan menggunakan bahasa isyarat?

 

Kebanyakan soalan adalah ‘tidak’ jawapannya. Apakah sebenarnya persepsi tentang OKU? Kekurangan OKU dianggap sebagai satu pengecualian dari tanggungjawab untuk mendalami serta mengamalkan Islam? Atau memang tidak pernah memikirkan tentang OKU.

 

Untuk hidup bersama dengan OKU perlu menjaga sensitiviti dan patut membantu golongan OKU baik dari segi kewangan dan tenaga.

 

LM350

 

Telah banyak pertubuhan kebajikan namun kebanyakannya bertumpu menjaga kebajikan anak yatim.  Amat sukar untuk mencari pertubuhan Islam yang menjaga kebajikan OKU.

 

Mengapa? Mungkin al-Quran tidak menyebut perkataan OKU maka tidak perlu dibantu. Mungkin bukannya salah satu dari asnaf zakat yang tidak perlu dibantu.

 

Bukankah OKU termasuk dalam kategori orang-orang yang memerlukan dan sebagai orang Islam, perlu prihatin dengan masalah OKU.

 

OKU adalah ujian Allah kepada ibu bapa dan keluarga yang juga ujian kepada manusia. Bagaimanakah manusia sempurna berinteraksi dan berkomunikasi dengan OKU yang banyak kategori?

 

Kelebihan  mengaburkan mata hati terhadap keperluan OKU lantas menafikan hak-hak OKU terhadap orang sempurna?

 

Bukankah nikmat-nikmat yang orang sempurna miliki adalah ujian Allah? Tepuk dada tanya selera! - DagangNews.com