Sirim umum pelantikan utama baru | DagangNews Skip to main content

Sirim umum pelantikan utama baru

 

SHAH ALAM 1 Feb - Sirim Berhad hari ini mengumumkan pelantikan dua pengurusan kanan untuk menerajui cabang penyelidikan perindustriannya dan anak syarikat pensijilan, pemeriksaan dan pengujiannya.

 

Mohd Azanuddin Salleh telah dilantik sebagai Naib Presiden Kanan Penyelidikan Perindustrian Sirim yang baru, sementara Nur Fadhilah Muhammad, akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Sirim QAS International yang baru, anak syarikat milik penuh Sirim Berhad.

 

Pelantikan ini akan berkuatkuasa pada 1 Februari 2021.

 

Mohd Azanuddin Salleh
Mohd Azanuddin Salleh

 

"Saya mengalu-alukan kedua-dua eksekutif yang kuat dan berbakat ini ke pasukan kepimpinan Sirim. Masing-masing membawa pencapaian cemerlang dan pengalaman yang akan memberi manfaat kepada Kumpulan Sirim, pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani.

 

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada Ir Dr Mohamad Jamil atas khidmat cemerlangnya kepada Sirim terutama kepimpinan strategiknya di Penyelidikan Perindustrian Sirim. 

 

Mohd. Azanuddin Salleh, menggantikan Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman, yang bersara pada 30 Januari 2021. Sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Sirim QAS International, Mohd Azanuddin menyertai Sirim sebagai Naib Presiden Kewangan Kumpulan pada tahun 2016 dan bertanggungjawab dalam semua aspek pengurusan kewangan dan fiskal bagi operasi syarikat pemegangan.

 

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sirim QAS International, dia bertanggungjawab dalam pertumbuhan syarikat yang mapan berikutan penyediaan perkhidmatan cemerlang dan keberkesanan operasi yang berterusan; dan telah mengurangkan masa perolehan untuk aktiviti pensijilan produk kepada 50 peratus.

 

Mohd Azanuddin juga memperkenalkan sejumlah 34 perkhidmatan baru dan inovatif seperti Audit & Penilaian Jarak Jauh, Pengujian Konsainan Bergerak, Pengujian Sistem Perlapisan Luar dan Pengujian Kaca Tertebat; dan melaksanakan Pusat Khidmat Pelanggan Berpusat untuk pengalaman pelanggan yang berkesan.

 

Mohd. Azanuddin mendapat pendidikan tinggi di Sheffield Hallam University, UK (Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian) dalam Kawalan Perakaunan & Pengurusan. Beliau merupakan ahli Chartered Institute of Management Accountants, UK (CIMA) dan juga Institut Akauntan Malaysia.

 

Sementara itu, Nur Fadhilah, yang menggantikan Mohd. Azanuddin, ialah Pengurus Besar Kanan Jabatan Perkhidmatan Pengujian, Sirim QAS International. Dia menyertai Sirim pada tahun 1985 sebagai Pegawai Penyelidik dan pernah memegang beberapa jawatan termasuk Eksekutif Pengujian Kanan dan Pengurus Kanan.
 

Nur Fadhilah Muhammad
Nur Fadhilah Muhammad

 

Dengan pengalaman yang luas dalam perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian, dia juga merupakan pakar teknikal yang mewakili Malaysia dalam WG29, Jawatankuasa Standard Penilaian Pematuhan sejak tahun 2000 hingga sekarang; dan pakar teknikal dalam mesyuarat penilaian pematuhan ASEAN untuk pembangunan rejim kawal selia berharmoni untuk peralatan elektrik/elektronik. Nur Fadhilah telah menyelia pembangunan Makmal Pengujian Kecekapan Tenaga yang pertama di Malaysia; pembangunan Makmal Pengujian Modul Fotovolta yang pertama dan juga Makmal Pengujian Pad Brek.

 

Dia mendapat pendidikan tinggi di Southern Illinois University, AS dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sarjana Muda Sains) dan Sarjana Sains dalam Pembuatan & Automasi dari University of Bristol, UK.

 

Sirim Berhad, anak syarikat Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah organisasi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti yang memberi tumpuan kepada Penyelidikan Perindustrian, Pembangunan Teknologi dan Pengkomersilan; Pensijilan, Pengujian dan Pemeriksaan; Pengukuran dan Penentukuran; Latihan; Penyelidikan dan Pembangunan Standard; Keusahawanan berasaskan Teknologi; dan Perundingan Reka bentuk. www.sirim.my

 

Sirim QAS International adalah anak syarikat milik penuh Sirim Berhad yang merupakan badan peneraju utama di Malaysia dalam menawarkan perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian yang setanding dengan amalan antarabangsa. Ia membantu pihak industri dalam menyediakan perkhidmatan dan barangan berkualiti melalui perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian di samping menjaga kepentingan pengguna serta alam sekitar. Pengiktirafan dan akreditasi yang diperolehu daripada badan seperti Jabatan Standard Malaysia (STANDARDS MALAYSIA) dan United Kingdom Accreditation Service (UKAS) membuktikan kredibiliti perkhidmatan Sirim. - DagangNews.com