Skim pencen ditiadakan: Ini antara langkah anda boleh lakukan | DagangNews Skip to main content

Skim pencen ditiadakan: Ini antara langkah anda boleh lakukan

Oleh Dr Norliza Che Yahya

PADA Januari lalu, Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang untuk memansuhkan skim pencen bagi penjawat awam yang baru.

 

Ini bermakna mana-mana lantikan penjawat awam akan digantikan dengan skim lantikan baru dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti kakitangan swasta yang lain.

 

Antara faktor utama yang menyumbang pada cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam yang baru ini adalah disebabkan oleh bebanan pembayaran pencen yang dianggarkan mencecah RM28 billion setiap tahun.

 

Jumlah ini dianggarkan akan meningkat sehingga RM120 bilion pada tahun 2040. Sememangnya jumlah ini dilihat agak besar untuk ditanggung oleh kerajaan Malaysia pada masa hadapan.

 

Dari satu sudut, langkah pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam yang baru ini dilihat dapat membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan tahunan negara.

 

Malah, kerajaan Malaysia juga mampu memperoleh penjawat awam yang benar-benar mahu berkhidmat dan memiliki komitmen tinggi dalam menyumbang disektor awam.


 

Dr Norliza Che Yahya
         Dr Norliza Che Yahya

 


Namun di sudut lain, cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam yang baru ini dilihat memberi sedikit kegusaran pada golongan belia.

 

Mungkin mereka mempunyai kemahuan untuk bekerja di sektor awam dan pasti akan tertanya sama ada mereka mampu memastikan kemampanan kewangan selepas pencen kelak.

 

Ini kerana pada zahirnya, golongan belia menganggap bahawa hanya sedikit perancangan kewangan diperlukan sekiranya mereka berpeluang bekerja sebagai penjawat awam.

 

Ini berikutan skim pencen sedia ada yang berupaya menyedikan keperluan kewangan bulanan semasa tempoh persaraan secara konsisten.

 

Oleh itu, dengan cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam yang baru ini, tanggungjawab dalam merangka strategi dan memupuk kelestarian kewangan jangka panjang kini terletak sepenuhnya dibahu penjawat awam itu sendiri.

 

Tanggungjawab ini pastinya akan memberikan cabaran kepada golongan belia yang berminat untuk berkhidmat di sektor awam untuk memastikan mereka benar-benar bersedia dari aspek kemampuan kewangan jangka panjang.
 

Walaubagaimanapun, golongan belia kini perlu berdepan realiti bawah mereka perlu lebih proaktif dalam memupuk kelestarian kewangan dari awal lagi.


 

waionuiomata

 


Kelestarian kewangan tanpa skim pencen memerlukan perancangan yang teliti dan usaha untuk menabung yang berterusan.

 

Berikut ialah beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan oleh golongan belia yang berminat berkhidmat disektor awam sekiranya skim lantikan penjawat awam baru tanpa pencen ini telah sedia dilaksanakan:

 

Golongan belia boleh mula melakukan simpanan awal

Lebih awal mereka mula menyimpan untuk persaraan, lebih baik. Malah jumlah kecil yang disimpan secara konsisten boleh berkembang dengan ketara dari semasa ke semasa hasil dari faedah kompaun.

 

Bijak melabur

Pertimbangkan untuk melaburkan simpanan yang ada di dalam portfolio pelaburan terpelbagai seperti saham, unit trust, hartanah atau aset lain yang berpotensi untuk berkembang dalam jangka panjang.

 

Golongan belia boleh berunding dengan penasihat kewangan untuk menyesuaikan pelaburan mereka dengan toleransi risiko dan matlamat persaraan sendiri.

 

Hidup ikut kemampuan sendiri

Elakkan perbelanjaan yang tidak perlu dan berusaha untuk hidup di bawah kemampuan. Ini akan membantu golongan belia untuk memiliki lebih banyak lebihan wang untuk disimpan dan dilaburkan untuk masa depan.

 

Menyediakan beberapa aliran pendapatan juga mampu memupuk kelestarian kewangan jangka panjang.

 

Golongan belia boleh mencari peluang untuk menjana pendapatan tambahan, sama ada melalui kerja sampingan, sewaan hartanah atau pelaburan.

 

Mempunyai bilangan aliran pendapatan yang pelbagai boleh memberikan lebih banyak keselematan dan fleksibiliti kewangan.


 

parafrasa

 


Sediakan dana kecemasan

Ini amatlah penting untuk menampung perbelanjaan hidup selama beberapa bulan sekiranya berlaku kecemasan yang tidak dijangka.

 

Ia akan membantu mengelakkan dari menggunakan dana simpanan persaraan lebih awal.

 

Penggunaan dana simpanan bagi tujuan persaraan lebih awal sememangnya akan membantutkan usaha untuk memperoleh simpanan yang mencukupi semasa tempoh persaraan.

 

Pastikan tubuh badan kekal sihat

Kos penjagaan kesihatan boleh menjadikan ia perbelanjaan yang besar semasa tempoh persaraan.

 

Utamakan kesihatan dengan mengamalkan rutin pemakanan dengan baik, bersenam secara teratur dan mendapatkan penjagaan pencegahan yang berpotensi mengurangkan perbelanjaan penjagaan kesihatan pada masa hadapan.

 

Golongan belia juga boleh mempertimbangkan insurans kesihatan jangka panjang yang ekonomi untuk perlindungan kesihatan mereka.

 

Peka mengenai cukai

Selain itu, golongan belia haruslah sentiasa peka dan cakna akan perubahan dalam undang-undang cukai, strategi pelaburan dan pilihan perancangan persaraan.

 

Mereka perlu bersedia untuk menyesuaikan perancangan kewangan mereka apabila sesuatu keadaan itu berubah.


 

waionuiomata

 


Keseluruhannya, golongan belia seharusnya sentiasa beringat bahawa untuk mencapai kelestarian kewangan tanpa skim pencen memerlukan disiplin, kesabaran dan kesungguhan.

 

Mulakan perancangan seawal mungkin dan kekal komited pada matlamat kewangan mampu membantu golongan belia untuk memastikan kelestarian kewangan mereka semasa tempoh persaraan. - DagangNews.com

 

Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam