Slurp! sasar RM3.5 Juta melalui Pendanaan Awam Ekuiti pitchIN | DagangNews Skip to main content

Slurp! sasar RM3.5 Juta melalui Pendanaan Awam Ekuiti pitchIN

Ketua Pegawai Eksekutif CEO Slurp!, Reza Razali



 

KUALA LUMPUR 24 Jun – Jenama teknologi runcit tempatan, Slurp! Point-of-Sales (POS) hari ini mengumumkan mahu mengumpul dana dengan jumlah sasaran RM3.5 juta melalui platform pendanaan awam ekuiti (ECF) pitchIN.

 

Slurp! merancang untuk mengagihkan dana tersebut kepada tiga bidang perniagaan – kira-kira RM1.8 juta untuk pengurusan sumber manusia, RM1.5 juta untuk menyokong rancangan peluasan pasarannya di dalam Malaysia dan ke Asia Tenggara dan Amerika Syarikat, dan selebihnya untuk penyelidikan dan pembangunan produk.

 

Kempen pengumpulan dana tersebut sedang pada peringkat pra-langsung yang akan mengambil masa antara dua dan enam minggu bermula 22 Jun 2021. Kempen pra-langsung ini sedang menerima pelabur awal dan Slurp! akan memberi saham insentif kepada pelabur awal berdasarkan jumlah komitmen mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CEO Slurp!, Reza Razali berkata, Slurp! berkembang maju sejak dua tahun yang lalu.

 

"Sememangnya, wabak COVID-19 telah menyebabkan beberapa halangan namun secara keseluruhannya keuntungan kami melonjak daripada kira-kira setengah juta ringgit pada 2019 kepada RM1.9 juta pada 2020.

 

"Kami ingin mempercepat perkembangan syarikat kami selanjutnya. Kami memilih pitchIN sebagai platform untuk menarik pelabur kerana mereka mempunyai rekod prestasi yang baik membantu syarikat teknologi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Slurp! bermula pada 2014 sebagai penyelesaian POS untuk kedai-kedai makanan dan minuman (F&B) sahaja. Pada 2020, Slurp! Fuel Retail POS dilancarkan.

 

“Kami telah memberi perkhidmatan kepada ribuan kedai F&B di seluruh Malaysia. Dalam bidang POS peruncitan bahan api, kami telah bekerjasama dengan Petronasuntuk menjalankan hampir 800 stesen minyak di seluruh negara setakat ini. Pencapaian ini memberi kami keyakinan untuk terus berkembang. Kami berharap dapat menceburi pasaran luar negara juga,” kata Reza.

 

Slurp! telah secara aktif mengambil bahagian dalam pameran perdagangan industri pada peringkat antarabangsa bagi meneroka peluang perniagaan. Ia sedang berkembang ke pasaran Filipina.

 

Ini kali pertama Slurp! mencuba mengumpul dana melalui platform ECF. Sebelum ini, ia menerima RM2.5 juta daripada Tabung Inovasi Digital Axiata (ADIF).

 

“Teknologi dan manusia adalah teras perniagaan kami dan kami ingin terus mengembangkan mereka supaya kami dapat mengecap pencapaian lebih tinggi. Kami berharap dapat menarik perhatian pelabur untuk turut serta dalam perjalanan kami,” ujar Reza.

 

Slurp! akan mengadakan sesi taklimat tentang kempen pengumpulan dana ini melalui Twitter Spaces dan Clubhouse. Pihak yang berminat dinasihatkan untuk melawat laman Slurp! di pitchIN dan akaun-akaun media sosial Slurp! untuk maklumat terkini.

 

Slurp! POS boleh didapati secara langsung daripada syarikat berdaftarnya, Silentmode Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Bangi, Selangor. - DagangNews.com