SNS Network dijangka terima manfaat daripada ledakan pelayan AI, kata Rakuten Trade | DagangNews Skip to main content

SNS Network dijangka terima manfaat daripada ledakan pelayan AI, kata Rakuten Trade

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Julai -  SNS Network Technology Bhd dijangka menerima manfaat besar daripada ledakan pelayan kecerdasan buatan (AI).

 

Rakuten Trade memberi pengiktirafan kepada kumpulan itu terhadap potensi transformatif AI merentas pelbagai sektor di Malaysia dan gerakan strategiknya untuk menjadi pemboleh ubah utama penggunaan AI.

 

Katanya, kumpulan itu memperoleh pesanan besar bernilai RM85.5 juta bagi pelayan super AI daripada platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelayan berprestasi tinggi itu akan dihantar ke pusat data di Johor Bahru pada Ogos tahun ini, menyerlahkan kepakaran SNS dalam pasaran pelayan AI dan menetapkan platform yang menjamin peluang masa hadapan.

 

"Kami yakin bahawa kumpulan itu akan memperoleh lebih banyak tawaran, dan terus mengukuhkan hubungannya bersama pelanggan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini

 

Rakuten Trade berkata, selain itu, SNS Network juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Healthcare Information Management Systems Society (HIMSS), penyokong global untuk rumusan kesihatan digital.

 

Katanya, sebagai rakan kongsi teknologi kesihatan digital pertama HIMSS di Malaysia, kumpulan itu akan menggunakan alat yang dibangunkan HIMSS seperti Model Penerimaan Rekod Perubatan Elektronik untuk menyeragamkan rekod perubatan di seluruh hospital.

 

"SNS dijangka mencapai sasarannya untuk menghantar 300 unit pelayan super AI pada FY25, dengan aspirasi untuk menggandakan jumlah tu ada tahun akan datang.

 

"Kami juga turut menyemak naik unjuran pendapatan FY26 sebanyak 3%, dan FY27 sebanyak 1%.

 

“Kami percaya pandangan SNS kekal cerah, didorong oleh jualan pelayan AI baharu dan pertumbuhan berterusan dalam perniagaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada, didorong oleh kitaran peranti pengguna dan transformasi digital berterusan dalam segmen pendidikan serta perdagangan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.23 sesaham. - DagangNews.com