SOCAR alu-alukan sokongan terhadap mobiliti rendah karbon dalam Belanjawan 2022 | DagangNews Skip to main content

SOCAR alu-alukan sokongan terhadap mobiliti rendah karbon dalam Belanjawan 2022

Oleh Leon Foong,
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
SOCAR Mobility Asia

 

SOCAR Mobility Asia mengalu-alukan komitmen Kerajaan dalam memperkukuhkan dan meluaskan pembiayaan berkaitan kelestarian dalam pembentangan Bajet 2022 akan datang. Seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini, pendekatan menyeluruh negara adalah penting dalam membangunkan polisi utama untuk pembangunan yang mampan.

 

Sebagai syarikat yang komited untuk meluaskan akses kepada pilihan mobiliti dan juga penuh yakin bahawa sektor pengangkutan mampu menjadi neutral karbon pada masa hadapan, SOCAR amat komited dan menyokong penuh polisi dan insentif yang menggalakkan mobiliti rendah karbon serta pelaburan terhadap infrastruktur mampan yang mendukung sistem pengangkutan mesra alam dalam ekonomi hijau yang pesat.

 

Secara khususnya, kami di SOCAR telah lama yakin bahawa jalinan swasta-awam adalah penting untuk mempercepatkan perubahan daripada kenderaan berasaskan bahan api fosil kepada kenderaan elektrik (EV), termasuk memacu pelaburan dalam industri bateri dan pengecas.

 

Kami menggesa Kementerian Kewangan, menerusi Pelan Hala Tuju Pembiayaan Mampan, untuk memberi insentif kepada sektor automotif dan pengguna di Malaysia untuk melabur dalam potensi besar EV — bermula daripada pembuatan EV, pengecas dan bateri, kepada pembentukan ekosistem perkhidmatan sokongan yang subur untuk pengguna EV malah mengitar semula dan mencari penggunaan baru untuk bateri lama EV untuk tujuan penggunaan sekunder.

 

Dengan sasaran TNB untuk mencapai komposisi tenaga boleh diperbaharui sebanyak 31% menjelang tahun 2025 dan 40% menjelang tahun 2035, kami percaya bahawa penggiat industri mobiliti dan pemegang taruh kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kenderaan penduduk mudah mengguna pakai grid masa hadapan yang lebih hijau ini.

 

Dalam memacu jalinan swasta-awam ini, adalah amat penting bagi syarikat swasta dan kementerian serta agensi terbabit untuk sama-sama berusaha menetapkan strategi, termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan agensinya Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia; serta Kementerian Alam Sekitar dan Air dan agensinya,  Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia; selain Kementerian Kewangan.

 

Di SOCAR, kami bersedia untuk menyumbang kepakaran dan sumber kami bagi menjayakan kerjasama ini. Menimba ilmu daripada kejayaan dalam penggunaan EV di seluruh dunia juga amat penting. Sebagai contoh, di Liuzhou, China, usaha yang bertumpukan keperluan penduduk telah membuktikan bahawa kenderaan kecil mampu milik yang memuatkan dua penumpang seperti Baojun E100 boleh menjadi pemangkin besar dalam penggunaan kenderaan elektrik secara meluas.

 

Menyentuh pemberian insentif bagi peralihan kepada EV dan meluaskan kewujudan infrastruktur pengecas, pengumuman Pelan Induk Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 pada awal tahun ini adalah langkah penting yang amat positif1, dan kami berharap ia dapat dipersetujui di kabinet.

 

Walaupun pengecualian cukai duti import bagi kenderaan elektrik2 boleh membantu, perbezaan harga antara kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman dan EV tidak mudah diatasi dan juga terdapat cabaran dalam meningkatkan bilangan pengecas pantas yang tersedia.

 

Kami berharap kerajaan akan bekerjasama dengan penggiat industri bagi mewujudkan kedai sehenti Kenderaan Elektrik yang membolehkan rakyat Malaysia memahami penjimatan kos bagi pemilik EV, mencari pengecas berhampiran, membayar kos mengecas dan menuntut manfaat cukai berikutan pembelian kenderaan elektrik.

 

Bagi SOCAR, pilihan mobiliti fleksibel teragih kami mampu menjadikan pemanduan EV lebih mampu milik dan mudah, seterusnya bukan sahaja mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya malah juga mengurangkan pencemaran yang dihasilkan oleh kenderaan yang masih digunakan.

 

Teknologi kami membolehkan perkongsian dengan mudah dan membenarkan pengguna mengetahui tahap cas kenderaan yang ditempah. Platform perkongsian kereta individu-ke-individu kami, TREVO, membolehkan pemilik EV berkongsi beban kewangan pemilikan EV dengan menyenaraikan kenderaan mereka dan juga berkongsi stesen pengecas dengan orang ramai.

 

Memiliki himpunan data yang komprehensif mengenai permintaan dan penggunaan juga amat penting bagi kejayaan usaha meluaskan penyediaan infrastruktur pengecas.

 

Pelbagai Insentif telah diumumkan bagi menggalakkan sektor swasta membina infrastruktur rangkaian pengecas pantas di bawah Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE)3, namun memiliki data tepat bagi mengenal pasti lokasi untuk membina stesen pengecas bagi memenuhi keperluan penggunaan di bandar dan pemanduan jarak jauh, dan untuk penyeimbangan beban yang cekap di semua lokasi, tidak kurang pentingnya.

 

Sebagai contoh, kita tahu seseorang pemandu besar kemungkinan akan meluangkan masa lebih dari 30 minit di pasar raya berbanding meluangkan 30 minit di stesen minyak dan ini akan menentukan jenis pengecas yang perlu disediakan.

 

Data kami juga menunjukkan bahawa pengguna SOCAR lazimnya tidak memandu melebihi 60km dalam setiap tempahan kereta. Dalam hal ini, penyedia perkhidmatan mobiliti seperti SOCAR dan TREVO berperanan dalam menyumbangkan data sebagai sumber utama bagi meningkatkan kualiti pemanduan EV dan seterusnya menggalakkan penerimaan EV.

 

Tidak dinafikan masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai sistem pengangkutan hijau dan pembangunan mampan secara keseluruhannya, namun di SOCAR Mobility Asia, kami amat komited untuk memainkan peranan kami dalam menyokong inisiatif hijau kerajaan bagi memastikan kewujudan ekosistem kenderaan elektrik yang memenuhi keperluan pemandu di Malaysia. - DagangNews.com