Solarvest, Agmo bentuk usaha sama bangunkan aplikasi digital bagi pacu sektor tenaga bersih | DagangNews Skip to main content

Solarvest, Agmo bentuk usaha sama bangunkan aplikasi digital bagi pacu sektor tenaga bersih

(Dari kiri) Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holdings Bhd, Davis Chong Chun Shiong; Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan Perdana Menteri, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia, Ahmad Zairin Ismail; Pengarah Eksekutif Bukan Bebas & Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings Berhad, Tan Aik Keong.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Solarvest Holdings Bhd melalui anak syarikatnya, Solarvest Energy Sdn. Bhd. membentuk usaha sama (JV) dengan subsidiari Agmo Holdings Bhd bagi bekerjasama  membangunkan aplikasi digital yang bakal memacu kemajuan sektor tenaga bersih.

 

Perasmian kerjasama itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, semasa Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-6 2024. 

 

Dalam kenyataan bersama, Solarvest dan Agmo berkata, perkongsian itu dijangka mengubah landskap digital utama dalam tenaga bersih Malaysia dengan menyediakan penyelesaian digital komprehensif serta memberi manfaat kepada pengguna dan pembekal tenaga bersih. 

 

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua syarikat dapat memanfaatkan rekod prestasi projek Solarvest dengan kepakaran teknologi Agmo yang akan membangunkan penyelesaian digital bagi menyelaraskan dan mengautomasikan kitaran hayat projek tenaga bersih. 

 

"Perkembangan itu akan berlaku dalam beberapa peringkat, bermula dengan penambahbaikan kepada tawaran semasa Solarvest, termasuk penyelesaian Vestech EcoHomes, ekosistem pengecasan kenderaan elektrik (EV) Powerbee dan pengurusan Pensijilan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE)," ujar kedua-dua syarikat itu hari ini.

 

Inovasi ini akan memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharuinya, membolehkan perniagaan meningkatkan operasi mereka melalui proses digital dan automatik.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holdings, Davis Chong Chun Shiong berkata, kerjasamanya dengan Agmo menandakan satu lonjakan besar ke hadapan dalam misi Kumpulan untuk memacu inovasi dan kemampanan dalam sektor tenaga bersih.

 

"Aplikasi digital yang sedang dibangunkan akan mengubah landskap operasi kami mengurus dan menskalakan penyelesaian tenaga bersih, menawarkan pengalaman bersepadu kepada pengguna perkongsian ini menyerlahkan komitmen kami untuk memajukan RE dan mempamerkan pendekatan proaktif kami untuk memenuhi keperluan industri bersama-sama," ulasnya. 

 

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas & Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings, Tan Aik Keong berkata, inisiatif inovatif dalam sektor tenaga bersih itu menunjukkan komitmen Kumpulan untuk menerajui inovasi industri.

 

"Dengan menggabungkan kepakaran luas Solarvest dalam tenaga bersih dengan penyelesaian digital termaju kami, aplikasi ini bersedia untuk menjadi pengubah permainan, menawarkan platform komprehensif yang menjadikan tenaga bersih lebih mudah diakses dan terurus untuk kedua-dua perniagaan dan pengguna, dengan berkesan menyokong matlamat kemampanan Malaysia," ujar beliau.- DagangNews.com