Solarvest dapat projek solar PV di Kulim bernilai RM87.5 juta | DagangNews Skip to main content

Solarvest dapat projek solar PV di Kulim bernilai RM87.5 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Solarvest Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Atlantic Blue Sdn. Bhd. (ABSB) berjaya meraih kontrak melibatkan projek tenaga solar fotovoltan (PV) berskala besar di Kulim, Kedah yang bernilai RM87.5 juta. 

 

Ini selepas Solarvest menerima surat tawaran (LOA) dari Energy ES Sdn. Bhd. (Energy ES) pada hari ini, berhubung pelantikan ABSB sebagai kontraktor utama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek tenaga solar 20.76MW itu.

 

Susulan penerimaan LOA itu, Solarvest menerusi maklumannya di Bursa Malaysia berkata, ABSB dan Energy ES akan memeterai Perjanjian EPCC yang akan menggariskan terma dan syarat penuh serta bakal dipersetujui dan diterima oleh kedua-dua pihak bagi projek tersebut. 

 

“Sementara menunggu pelaksanaan Perjanjian EPCC, kedua-dua pihak (ABSB dan Energy ES) akan memuktamadkan reka bentuk projek yang akan dimasukkan ke dalam Perjanjian EPCC. 

 

“Jumlah kontrak bagi projek ini bernilai RM87.5 juta. Selepas LOA diterima oleh ABSB, Energy ES akan membuat pembayaran pendahuluan penuh, bersamaan 7% daripada jumlah kontrak kepada ABSB.

 

“Projek ini akan bermula selepas pelaksanaan Perjanjian EPCC dan tarikh penyiapan projek akan berdasarkan Tarikh Jadual Operasi Komersial bagi Perjanjian Pembelian Tenaga Solar yang ditetapkan antara Energy ES dan Suruhanjaya Tenaga (ST),” jelas syarikat.

 

ABSB seterusnya akan menyediakan Bon Prestasi yang tidak boleh ditarik balik, bersamaan 7% daripada jumlah kontrak kepada Energy ES dalam masa 30 hari selepas pelaksanaan Perjanjian EPCC.

 

Bon Prestasi itu akan sah bermula dari tarikh pelaksanaan projek tersebut sehingga tarikh operasi komersial. - DagangNews.com