Solution Group beli vaksin CanSino, edarkan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Solution Group beli vaksin CanSino, edarkan di Malaysia

BARISAN pengisian vaksin dilengkapi sistem penghalang akses terhad.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Solution Group Berhad (SGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO) telah membeli vaksin keluaran CanSino Biologics Inc untuk diedarkan bagi kegunaan kecemasan di Malaysia.

 

Ini selepas SOLBIO menandatangani perjanjian keluaran siap dan pukal vaksin dengan CanSino untuk membekalkan vaksin Recombinant Ad5-nCoV bagi melawan virus COVID-19.

 

Menerusi perjanjian yang berkuatkuasa serta-merta untuk tempoh 10 tahun tersebut, ia membolehkan SOLBIO untuk membeli vaksin berkenaan dan CanSino bakal membekalkan produk vaksin siap diisi.

 

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Datuk Dr. Mohd Nazlee Kamal berkata, penghantaran pertama dos yang siap itu akan dibuat pada Ogos dan penghantaran seterusnya juga mengikut jadual.

 

“Vaksin CanSino merupakan vaksin berdos tunggal yang menjadikannya lebih berkesan untuk diedarkan, terutamanya di kawasan pedalaman dan sukar dicapai, memberi penjimatan dari segi logistik dan sumber lain yang diperlukan bagi mengedarkannya untuk program vaksinasi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu, perjanjian itu juga membolehkan SOLBIO untuk memenuhi kewajipan membekalkan 3.5 juta dos vaksin COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan (KKM) selain menerima tempahan tambahan dari KKM, kerajaan negeri, sektor swasta dan negara ASEAN lain.

 

SOLBO juga mempunyai kapasiti untuk membekalkan dos suntikan tambahan, sekiranya mereka yang lengkap divaksinasi dengan vaksin COVID-19 lain, perlu menerima suntikan tambahan.

 

“Menerusi perjanjian bekalan itu, kami yakin untuk memenuhi lebih daripada keperluan semasa kerajaan dan kami percaya bekalan vaksin yang dikenali sebagai Convidecia akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi di Malaysia dengan mendadak untuk memenuhi sasaran kerajaan dalam vaksinasi seluruh populasi negara menjelang Oktober 2021.

 

“Fokus utama kami adalah untuk memenuhi bekalan 3.5 juta dos vaksin kepada KKM yang kami telah tandatangani pada awal April tahun ini dan dijangka selesai menjelang Oktober 2021. Sementara itu, kami merancang untuk mengembangkan pengedarannya ke negara ASEAN lain.

 

“Kami sedang berbincang dengan kerajaan Thailand dan Filipina untuk membekalkan vaksin dan menjangkakan Kelulusan Kegunaan Kecemasan (EUA) diberi pada Ogos, di mana kami sasar untuk membekalkan kira-kira lima hingga 10 juta dos ke setiap negara,” katanya lanjut.  - DagangNews.com