Spekulasi penswastaan Astro kembali hangat diperkatakan - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Spekulasi penswastaan Astro kembali hangat diperkatakan - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mac - Astro Malaysia Holdings Berhad dijangka dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia selepas spekulasi mengenai penswastaan kumpulan itu kembali hangat diperkatakan.

 

Spekulasi penswastaan muncul semula selepas kali terakhir disebut pada 2018.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, berita mengenai perkara itu bagaimanapun meningkatkan keterujaan dalam pasaran dan menyebakan ketidakstabilan dalam Astro.

 

"Isu pinjaman yang tinggi dan cetak rompak membuatkan ia dilihat kurang menarik kepada bakal pelabur," katanya.

 

Pada 2018, desas desus penswastaan itu mula diperkatakan selepas pemilik kumpulan itu, bilionaire terkemuka T. Ananda Krishnan merancang untuk menswastakan syarikat itu selepas harga sahamnya jatuh ke paras terendah.

 

Ketika itu difahamkan, beliau berbincang mengenai pilihan pembiayaan dengan penasihat dan berhubung dengan beberapa pelabur utama untuk melihat minat mereka.

 

Kemudian, Astro berkata ia tidak menerima pengesahan sebarang cadangan penswastaan itu.

 

Firma itu berkata, semalam, saham Astro meningkat 13.5 sen atau 22.13%, mencecah paras tertinggi harian 74.5 sen.

 

"Bagaimanapun, menjelang akhir hari dagangan, saham kumpulan itu jatuh sedikit untuk ditutup pada 73 sen, yang masih paras tertinggi tiga bulan dan peningkatan sebanyak 12 sen atau 19.67%," katanya. - DagangNews.com