SPRM teliti dokumen Kementerian Sumber Manusia, tentukan sama ada wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa | DagangNews Skip to main content

SPRM teliti dokumen Kementerian Sumber Manusia, tentukan sama ada wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti keseluruhan dokumen yang diserahkan Kementerian Sumber Manusia berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024) terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bagi menentukan sama ada wujud elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa atau sebaliknya.

 

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan mengesahkan, pihaknya sudah menerima dokumen tersebut daripada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pada pukul 11:30 pagi, hari ini.  

 

"SPRM akan meneliti keseluruhan dokumen bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.  

 

"Selain daripada kesalahan jenayah, SPRM juga akan meneliti isu-isu kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam LKAN 2/2024," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Sumber Manusia, HRD Corp buat laporan SPRM susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara - Steven Sim

 

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kementeriannya tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

 

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius laporan-laporan oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen pada 4 Julai 2024. 

 

Menurut beliau, dalam masa enam bulan ini, Kementerian telah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses yang cekap di seluruh Kementerian dan agensinya. 

 

"Rekayasa Kementerian Sumber manusia di peringkat HRD Corp telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan Jabatan Audit Negara dan PAC tidak akan berulang," katanya.

 

Sementara itu, PAC mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp bagi melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

 

Ia merupakan antara isu yang didedahkan jawatakuasa itu hasil melalui prosiding yang dijalankan selama sembilan bulan.

 

Pelaburan yang dilakukan oleh HRD Corp juga bernilai RM3.84 bilion pada nilai pasaran sehingga Mac 2024.

 

Dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia. - DagangNews.com