SPRM siasat YTL Communications, Kementerian Pendidikan berhubung tender 1BestariNet | DagangNews Skip to main content

SPRM siasat YTL Communications, Kementerian Pendidikan berhubung tender 1BestariNet

PUTRAJAYA 4 Sept - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada tahun 2011.

 

Memetik sumber, Sinar Harian melaporkan bahawa "SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communications Sdn Bhd di Kuala Lumpur pada Rabu".

 

“Hasil penggeledahan tersebut, sejumlah dokumen telah disita dan SPRM sedang mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

 

“Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion,” kata akhbar tersebut.

 

"Sumber berkata, fokus siasatan SPRM juga menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

 

"Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009," kata Sinar Harian.

 

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada SPRM bagi melaksanakan siasatan tanpa sebarang gangguan. - DagangNews.com