SSPN umum 4% dividen 2020 | DagangNews Skip to main content

SSPN umum 4% dividen 2020

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan agihan dividen bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tahun 2020 sebanyak 4%. 

 

Agihan itu membabitkan anggaran peruntukan berjumlah RM201.3 juta yang akan memberi manfaat kepada 4.82 juta pendeposit akaun SSPN, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad. 

 

Jelasnya, ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM856.6 juta sejak SSPN diperkenalkan. 

 

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad

 

“Agihan ini didorong hasil pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

 

“Tahun 2020 juga menyaksikan PTPTN memperoleh keuntungan pelaburan deposit SSPN berjumlah RM237.42 juta. Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM32.14 juta iaitu 15.7% berbanding RM205.28 juta pada tahun 2019.

 

“Kejayaan ini adalah hasil daripada kecekapan PTPTN dalam pelaksanaan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan penjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif,” katanya dalam sebuah kenyataan hari in. 

 

Noraini berkata, deposit SSPN bagi tahun lalu berjumlah RM1.99 bilion, di mana mencatatkan rekod baharu tertinggi sepanjang penubuhan PTPTN. 

 

Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.6% berbanding RM1.37 bilion pada 2019, ujarnya. 

 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan deposit SSPN sehingga 31 Disember 2020 adalah RM7.88 bilion.

 

Sementara Itu, sebanyak 436,101 akaun baharu SSPN telah berjaya dibuka pada tahun 2020, satu kejayaan yang memberangsangkan berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun, tambah Noraini. 

 

“Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 4.82 juta akaun telah dibuka sejak SSPN diperkenalkan pada tahun 2004. 

 

“KPT merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan PTPTN atas prestasi cemerlang SSPN bagi tahun 2020 sekali gus dapat memberikan kadar dividen yang sangat kompetitif kepada pendeposit SSPN walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar akibat pandemik COVID-19. 

 

“Terima kasih juga diucapkan kepada Kementerian Kewangan atas sokongan terhadap pengagihan dividen SSPN ini,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com