Starbucks terus pacu prospek Berjaya Food, mampu capai sasaran pembukaan 38 cawangan dalam FY22 | DagangNews Skip to main content

Starbucks terus pacu prospek Berjaya Food, mampu capai sasaran pembukaan 38 cawangan dalam FY22

Gambar : Facebook Starbucks Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Feb - AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Berjaya Food Bhd. dengan nilai wajar lebih tinggi pada RM3.30 daripada RM2.30 sebelum ini selepas menyemak semula unjuran pendapatan kumpulan. 

 

Firma itu menaikkan unjuran pendapatan Berjaya Food bagi tahun kewangan 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 72%, 46% dan 40% selepas selepas mengambil kira jualan yang kukuh dengan pembukaan semula ekonomi. 

 

"Pendapatan masa depan kumpulan juga disokong oleh pembukaan cawangan baharu Starbucks dan operasi Kenny Rogers Roasters yang kembali pulih menerusi penempatan semula lokasi kedai serta rombakan penawaran produk," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan suku kedua yang diumumkan semalam, keuntungan bersih Berjaya Food melonjak kepada RM38.8 juta daripada RM11.12 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil meningkat kepada RM272.75 juta daripada RM174.1 juta disumbang oleh pertumbuhan tinggi jualan di 'kedai-yang-sama' terutama daripada cawangan kafe Starbucks.

 

Bagi tempoh 6 bulan, keuntungan bersih Berjaya Food meningkat lebih daripada berganda kepada RM50.5 juta daripada RM21.49 juta tahun ke tahun manakala hasil naik kepada RM460.47 juta daripada RM354.82 juta.

 

Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1 sen dividen satu tier sesaham berbanding setengah sen pada suku yang sama berakhir 31 Disember 2020, yang akan dibayar pada 30 Mac 2022.

 

AmInvestment percaya, penambahbaikan yang dibuat terhadap model perniagaan Starbucks menunjukkan kepelbagaian pasukan pengurusan dan meletakkan prestasi outlet kumpulan yang lebih kukuh.

 

"Prestasi luar biasa operasi Starbucks mempamerkan keberkesanan strategi syarikat dalam menjana minat pengguna melalui perubahan format saluran cawangan selain memanfaatkan perkhidmatan penghantaran pihak ketiga, perubahan dalam program ganjaran kesetiaan pelanggan dan memanfaatkan pembukaan semula ekonomi," jelasnya.

 

Menurut firma itu, Berjaya Food kini berada di landasan tepat untuk membuka 38 cawangan baharu Starbucks dalam FY22 (tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022). 

 

Setakat separuh pertama, katanya, kumpulan telah membuka 18 cawangan baharu dan menutup 2 cawangan sedia ada, menjadikan keseluruhan cawangan berjumlah 343.

 

"Sebelum ini, pembukaan cawangan pada suku pertama FY22 tertangguh akibat perintah kawalan pergerakan. Oleh itu, kami menjangkakan pembukaan cawangan akan lebih agresif pada separuh kedua ini," katanya. 

 

Dalam pada itu, tambahnya, Berjaya Food juga akan terus menyelaraskan operasi Kenny Rogers Roasters pada masa hadapan. 

 

"Kumpulan telah menghentikan 2 operasi yang kurang memuaskan dan membuka 1 cawangan baharu pada suku semasa," katanya.

 

Setakat 10.50 pagi, harga saham Berjaya Food menokok 72 sen atau 30% kepada RM3.12 dengan 5.85 juta saham diniagakan. - DagangNews.com