Steel Hawk meterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian bagi pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Steel Hawk meterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian bagi pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE

Datuk Sharman K Michael (kiri) bertukar dokumen bersama Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian Securities, David Lim Meng Hoe (kanan) semasa sesi menandatangani perjanjian taja jamin antara Steel Hawk dan firma pelaburan itu.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Syarikat pembekal perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas, Steel Hawk Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd bagi pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Ketika ini, kumpulan itu disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia dengan syarikat itu terlibat dengan penyediaan perkhidmatan sokongan dalam dan luar pesisir untuk industri minyak dan gas dengan operasi berpusat di Kemaman, Terengganu dan Miri, Sarawak.

 

Pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 90 juta saham baharu, membentuk 18.37% daripada modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 490 juta juta saham.

 

Ia juga melibatkan tawaran penjualan 44.7 juta saham sedia ada atau 9.12% daripada modal saham yang diperbesarkan, kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Daripada 90 juta saham baharu yang akan diterbitkan, sejumlah 24.5 juta saham baharu, mewakili 5% daripada modal saham yang diperbesarkan akan dibuka untuk permohonan kepada orang ramai Malaysia.

 

Sejumlah 12.25 juta saham mewakili 2.5% daripada modal saham yang diperbesarkan akan disediakan kepada pekerja yang layak dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan (Borang Merah Jambu)

 

Sejumlah 53.25 juta saham baharu atau 10.87%, daripada modal saham yang diperbesarkan akan diterbitkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Selaras dengan perjanjian taja jamin itu, UOB Kay Hian akan menaja jamin 36.75 juta saham baharu yang disediakan untuk Borang Merah Jambu dan orang awam Malaysia.

 

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman K. Michael berkata, pihaknya gembira kerana telah menandatangani perjanjian taja jamin itu dengan UOB Kay Hian bagi pemindahan penyenaraian kumpulan yang akan datang daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Katanya, pemindahan penyenaraian menandakan satu langkah besar, mengukuhkan kedudukan kumpulan bagi memanfaatkan peluang dalam industri minyak dan gas global.

 

“Pangkalan pelabur Pasaran ACE yang lebih luas akan meningkatkan kecairan bagi saham kami, meningkatkan profil syarikat kami dan menarik rakan kongsi baharu.

 

"Tambahan pula, peralihan ini memberikan kami platform pengumpulan dana yang jauh lebih besar; memberikan kami akses kepada modal tambahan yang akan menyokong rancangan pengembangan kami, membolehkan kami melabur dalam inisiatif strategik," katanya. - DagangNews.com