KUALA LUMPUR 21 Sept - Syarikat pemula teknologi tempatan, StoreHub berjaya meraih RM60.7 juta dalam satu pusingan pendanaan pre-Series B yang diketuai oleh 500 Global.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama, Wai Hong Fong berkata, peruncit serta pemilik perniagaan makanan dan minuman (F&B) mencari cara untuk menambah baik kecekapan operasi serta memaksimumkan keuntungan yang boleh didapati daripada setiap pelanggan.
Katanya, Malaysia telah menyaksikan transformasi perniagaan yang membolehkan peniaga menyesuaikan diri dengan norma baharu.
“Isu kekurangan tenaga pekerja serta pelanggan yang semakin teliti dan celik digital memberi kesan ketara kepada industri.
“Perkara seperti ini menjadikan penyepaduan teknologi dalam operasi mereka lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hong Fong berkata, platform StoreHub mengautomasikan proses mengambil pesanan, pembayaran, serta penglibatan pelanggan.
“Ia seperti tambahan 10 pekerja untuk bekerja tanpa henti dan tanpa melakukan sebarang kesilapan. Pemilik perniagaan dapat menjana lebih keuntungan dan menggunakan masa lapang mereka untuk bersama keluarga atau meluaskan lagi perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan 500 Global, Khailee Ng berkata, mengetuai pusingan pendanaan StoreHub merupakan antara pertaruhan besar pertama yang pernah dilakukan oleh firma tersebut untuk syarikat-syarikat berprestasi tinggi mereka.
“Kami menyertai pusingan pertama mereka pada 2016 dengan hanya AS$150,000 (RM685,124). Pada hari ini, secara keseluruhannya, kami telah melaburkan lebih daripada AS$10 juta (RM45.67),” katanya.
Beliau yakin, StoreHub yang sangat bernilai kerana ia mencipta nilai yang begitu besar untuk lebih banyak lagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pada 2013, StoreHub bermula sebagai perintis awal sistem Point-of Sales (POS) berasaskan awan di rantau ini dan platform itu telah membantu lebih 15,000 cawangan runcit dan restoran di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara.
Sepanjang 12 bulan terakhir, StoreHub memproses lebih 128 juta transaksi bernilai lebih RM7.2 bilion dalam nilai transaksi kasar (GTV), peningkatan sebanyak 40% berbanding tahun sebelumnya. - DagangNews.com