Sumbangan segmen pengurusan modal insan lebih tinggi, CGS International semak naik pendapatan FY24 Ramssol sebanyak 53% | DagangNews Skip to main content

Sumbangan segmen pengurusan modal insan lebih tinggi, CGS International semak naik pendapatan FY24 Ramssol sebanyak 53%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR


KUALA LUMPUR 30 Julai - CGS International menyemak naik pendapatan Ramssol Bhd sebanyak 53% bagi FY24 didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen pengurusan modal insan (HCM).

 

Katanya, ramalan itu juga disokong oleh peningkatan hasil daripada segmen pemasaran dan latihan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya turut mengambil kira sumbangan hasil antara RM10 juta hingg RM13 juta daripada GeekStart antara FY24-FY26 kerana telah memperoleh projek bagi melancarkan rumusan pendigitalan bagi beberapa pelanggan utama.

 

"Menuju ke FY25, kami mengharapkan sumbangan sulung daripada RiderGate apabila beroperasi secara langsung.

 

"Secara keseluruhan, kami mengunjurkan kadar pertumbuhan terkompaun (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) tiga tahun yang kukuh sebanyak 49.8%," katanya alam satu nota kajian, hari ini

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu adalah sebanyak RM8.45 juta meningkat 104.6% bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), berbanding RM4.13 juta tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pertumbuhan itu adalah dipacu oleh projek margin tinggi dan pengedaran lesen HCM.

 

Keputusan kumpulan bagi 1HFY24 telah pun melepasi keputusan tahun penuhnya untuk tahun sebelumnya, dengan mereka mencatatkan hasil sebanyak RM31.73 juta bagi tempoh terkumpul berakhir 30 Jun 2024, mewakili peningkatan yang luar biasa sebanyak 91.4% daripada RM16.58 juta bagi tempoh yang sama pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi HCM, kumpulan itu memperluaskan kerjasama dan pengedarannya dengan rakan kongsi luar dalam usaha untuk meluaskan capaian pasaran dan kapasiti pelaksanaan projek memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan yang lebih berkesan.

 

Katanya, kumpulan itu berhasrat untuk memanfaatkan rangkaian yang meluas ini untuk menjual rumusan latihan dan pemasarannya sebagai sebahagian daripada usahanya bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

"Kami menaikkan penarafan kumpulan kepada 'tambah' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran 95 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com