Sumbangan Tunai Rahmah fasa 2 diagih awal April ini - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Sumbangan Tunai Rahmah fasa 2 diagih awal April ini - Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Bernama

KUALA LUMPUR 14 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 2 diagihkan awal April ini sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Beliau sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan untuk menyegerakan pembayaran itu bagi meringankan beban rakyat yang memerlukan.

 

"Seperti yang disebutkan, STR fasa 1 sudah diedarkan dan sampai kepada rakyat yang berjumlah RM1.6 bilion, itu pada bulan Januari lalu.

 

"STR fasa 2 yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April sebelum raya untuk golongan B40," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah penambahbaikan kepada STR berbanding bantuan diberikan sebelum ini.

 

Mengulas mengenai penambahbaikan bantuan tunai kepada rakyat, Anwar berkata, penambahbaikan itu dapat dilihat dalam Belanjawan Madani 2023 menerusi STR maksimum sehingga RM3,100 walaupun Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berjumlah RM2,500 masih diagihkan.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan membuka permohonan baharu untuk STR.

 

"Setakat 13 Mac lalu, seramai 320,103 orang sudah pun mendaftar dan (mereka) yang layak, saya minta dipohon segera sebelum 31 Mac ini supaya dapat dikeluarkan dana ini pada Ramadan," katanya.

 

Pendaftaran dan kemas kini STR dibuka bermula 1 hingga 31 Mac bagi membolehkan individu yang layak untuk mengemukakan permohonan selain memberi peluang kepada penerima sedia ada untuk mengemas kini maklumat mereka.

 

Perdana Menteri berkata, STR akan memberi manfaat kepada 8.7 juta rakyat dengan peruntukan hampir RM8 bilion. - DagangNews.com