Sumber NR-REE hak kerajaan negeri, Perak tidak mahu diuruskan pihak ketiga seperti petroleum | DagangNews Skip to main content

Sumber NR-REE hak kerajaan negeri, Perak tidak mahu diuruskan pihak ketiga seperti petroleum

Lombong NR-REE Perak di Kenering, Gerik.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 9 Julai - Sumber mineral galian unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Perak adalah hak negeri ini yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

 

Ini kerana kerajaan Perak tidak mahu ia dikendalikan oleh pihak lain sepertimana Petronas dalam hal petroleum bagi memastikan hasilnya dinikmati rakyat Perak.

 

Bagaimana pun, kerajaan Pusat masih mempunyai peranan bagi aktiviti berkaitan perlombongan sumber mineral itu

 

 

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasil NR-REE merupakan hak sesebuah negeri dan wajar diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri masing-masing.

 

Kapal
Saarani.

 

Katanya, beliau berpendapat hasil mineral itu tidak perlu dimanfaatkan kerajaan negeri dan tidak mahu sepertimana petroleum yang mana negeri hanya menerima royalti.

 

“Kerajaan pusat masih boleh bertindak sebagai penyelaras untuk menjayakan aktiviti yang berkaitan dengan pengeluaran hasil bumi tersebut.

 

"Semua akiviti yang berkaitan dengan pengekstrakan adalah merupakan hak kerajaan negeri. 

 

“Dalam beberapa mesyuarat pada peringkat pusat, kita menyatakan pendirian bahawa hasil bumi NR-REE adalah hak kerajaan negeri,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

 

Media sebelum ini melaporkan, kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Akta Pembangunan Mineral 1994 perlu dipinda bagi memenuhi keperluan pembangunan kerangka model perniagaan NR-REE negara.

 

Kapal
Nik Nazmi (kiri) semasa meninjau operasi perlombongan NR-REE di Gerik.

 

Ia bagi merintis mengenai penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meneroka dan mengawal selia industri berkenaan.

 

Dalam pada itu, Saarani memberitahu tentang penubuhan makmal analisis mineral iaitu Terra Mineral Lab (TML) yang akan memberi nilai tambah kepada industri perlombongan NR-REE.

 

Makmal tersebut akan memulakan operasi pada September ini.

 

Katanya, seramai 15 petugas telah diambil melibatkan graduan tempatan dan dua orang ahli kimia kanan dari universiti tempatan.

 

“Graduan ini bertugas sebagai pembantu ahli kimia berkenaan bersama-sama kakitangan sokongan.

 

Kapal

 

"Pada masa akan datang, bilangan petugas akan bertambah berdasarkan jangkaan bilangan analisis yang perlu dilakukan dari masa ke semasa," katanya.

 

Perak berjaya memperolehi pendapatan RM21.1 juta dalam tempoh 10 bulan hasil royalti perlombongan NR-REE tahun lalu.

 

Ia dijangka akan terus meningkat apabila mineral tersebut perlu diekstrak di dalam negara sebelum dieksport ke luar. - DagangNews.com