Sunview Group buat penampilan sulung di Pasaran ACE dengan harga saham 105.1% lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Sunview Group buat penampilan sulung di Pasaran ACE dengan harga saham 105.1% lebih tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Sunview Group Berhad membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 59.5 sen, peningkatan 105.1% premium berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 29 sen.

 

Dengan jumlah pembukaan sebanyak 8.82 juta saham, saham itu juga merupakan yang paling aktif didagangkan pada waktu pagi dengan bahagian awam IPO penyedia pembinaan sistem solar fotovoltaik (PV) telah terlebih langgan sebanyak 63.19 kali.

 

Penyenaraian itu berjaya mengumpul RM34.22 juta melalui terbitan 118 juta saham baharu, dengan RM20.1 juta atau 58.72% daripada hasil itu diperuntukkan untuk membiayai keperluan modal kerja kumpulan, manakala RM7 juta atau 20.46% akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank.

 

Sejumlah RM1.86 juta atau 5.42% akan diperuntukkan untuk perbelanjaan modal, diikuti RM1.67 juta atau 4.88% untuk pengembangan perniagaan, manakala baki RM3.6 juta atau 10.52% akan digunakan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Sunview terlibat dengan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta perkhidmatan pembinaan serta pemasangan kemudahan solar PV, penjanaan dan bekalan tenaga solar, serta perkhidmatan dan produk yang berkaitan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata, kejayaan berada di kedudukan itu dalam masa singkat merupakan usaha bersama yang dilakukan pihak pengurusan dan kakitangan sejak sembilan tahun lalu.

 

"Tanpa mereka, kami tidak akan menjadi pemain tenaga boleh diperbaharui bersepadu, pakar dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan, serta perkhidmatan pembinaan dan pemasangan untuk kemudahan solar PV, penyediaan penjanaan tenaga solar dan bekalan sebagai serta perkhidmatan dan produk berkaitan.

 

"Bagaimanapun, usaha kami tidak akan terhenti di sini, kami berhasrat untuk memanfaatkan penyenaraian ini untuk mengekalkan momentum perkembangan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Alliance Islamic Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk latihan IPO ini.

 

Sunview mempunyai 35 projek EPCC yang sedang dijalankan untuk kemudahan solar PV dengan kontrak bernilai RM685.29 juta dan mereka telah menyiapkan lebih 100 projek, dengan nilai RM102.04 juta.

 

Bagi FY22, hasil Sunview meningkat 129.08% kepada RM99.26 juta daripada RM43.33 juta untuk FY21 dengan 75.73% disumbangkan oleh segmen EPCC. - DagangNews.com