KUALA LUMPUR 8 Feb - Mercury Securities mengunjurkan Sunview Group Berhad merekodkan separuh kedua (2H) yang lebih kukuh bagi tahun kewangan 2023 (FY23) bersandarkan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada tempahan sedia ada dan margin yang lebih baik berikutan penurunan kos bahan mentah.
Kumpulan itu baru-baru ini menerima surat anugerah (LoA) RM122 juta untuk menjalankan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kemudahan tenaga solar untuk membangunkan solar fotovoltaik Badong berskala besar Nextenaga di Selangor.
Kumpulan itu itu juga memohon tender untuk perjanjian pembelian kuasa maya (VPPA) pada 7 Februari 2023.
Firma itu berkata, ia akan mengukuhkan keterlihatan pendapatannya untuk dua tahun kewangan akan datang jika berjaya dan kumpulan itu mempunyai tempahan sebanyak RM777.3 juta pada Januari 2023 dengan RM100 juta dijangka diiktiraf sepenuhnya menjelang FY23.
"Kami berpendapat bahawa kumpulan itu berada pada kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada kejatuhan harga bahan mentah dan peningkatan permintaan solar fotovoltaik di bawah Pelan Peralihan Tenaga Kerajaan 2021–2040 dengan sasaran untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam jumlah kapasiti terpasang di Malaysia kepada 31% pada 2025 dan 40% pada 2035," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kumpulan itu berjaya melengkapkan 110 EPCC projek kemudahan PV atas bumbung setakat Januari 2023, terdiri daripada bangunan perindustrian, kediaman dan komersial dengan kapasiti terkumpul terpasang pada puncak 25.1 megawatt.
Syarikat itu turut menyiapkan 21 projek pembinaan dan pemasangan kemudahan PV solar dengan jumlah nilai kontrak RM38.1 juta dengan jumlah kapasiti terpasang melebihi 300 MW.
Firma itu berkata, kumpulan itu merancang untuk memanfaatkan pengalaman dan rekod prestasinya dalam EPCC kemudahan solar PV untuk menerokai EPCC kemudahan tenaga boleh diperbaharui lain seperti loji biogas yang direka untuk menjana elektrik dengan menggunakan bahan buangan seperti sisa pertanian.
Katanya, syarikat itu juga bercadang untuk menubuhkan pejabat baharu bagi mengembangkan perniagaannya di Johor dan menyasarkan aplikasi komersial dan perindustrian di wilayah Selatan.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas syarikat itu dengan harga sasaran (TP) RM1.06 sesaham. - DagangNews.com