Sunway Construction Group 'bergelut' capai sasaran kontrak RM2 bilion bagi 2022 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction Group 'bergelut' capai sasaran kontrak RM2 bilion bagi 2022 - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Sunway Construction Group Berhad masih belum mencapai sasaran RM2 bilion penambahan nilai kontrak selepas hanya meraih kontrak bernilai RM881.3 juta atau 44.1% daripada sasaran pada tahun ini.

 

MIDF Research berkata, nilai kontrak sedia ada Sunway Construction Group Berhad sebanyak RM4.32 bilion akan memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Katanya, projek solar yang dianugerahkan Sharp Ventures Solar Sdn. Bhd. diambil kira sebagai penambahan semula pada 2021 memandangkan surat niat yang dikeluarkan pada 27 Disember 2021.

 

"Kami percaya bahawa pelancaran kontrak MRT3 yang akan datang akan memberi rangsangan kepada nilai kontrak kumpulan tahun ini, selain daripada peluang daripada kontrak lain.

 

"Kumpulan itu sebelum ini memberi gambaran mereka akan bersaing untuk tender pakej MRT CMC302 dan CMC301 masing-masing bernilai RM13.94 bilion dan RM2.79 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun hanya dibenarkan mengambil hanya satu pakej dan bahagian yang lebih kecil pakej CMC301 akan membantu dalam mengisi semula nilai kontrak kumpulan itu.

 

Penyerahan tender ditutup pada 30 September 2022 dan MRT Corp dijangka mengumumkan pemenang tender sebelum akhir tahun.


Terdahulu, kumpulan itu dianugerahkan projek pembinaan bernilai RM278 juta daripada anak syarikat tidak langsung syarikat induknya Sunway Berhad.

 

Kerja pembinaan tersebut melibatkan kerja-kerja bangunan utama bagi cadangan pembangunan dua blok kondominium kediaman, yang terdiri daripada podium, tempat letak kereta, kemudahan umum dan kolam renang, yang terletak di Bukit Jalil.

 

Projek itu bermula pada 1 November 2022 dan dijangka siap pada 31 Oktober 2025.

 

Firma itu mengulangi saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.87 sesaham. - DagangNews.com