Sunway Healthcare terbit Sukuk Lestari berperingkat pertama berjumlah RM400 juta | DagangNews Skip to main content

Sunway Healthcare terbit Sukuk Lestari berperingkat pertama berjumlah RM400 juta

Sunway Healthcare merancang membina sehingga lima lagi hospital menjelang 2030. Gambar Sunwaypals
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Mei - Sunway Healthcare menerbitkan Sukuk Lestari berperingkat pertamanya berjumlah RM400 juta untuk pengembangan jumlah hospital di Malaysia.

 

Kumpulan itu menyasarkan mendapatkan pengiktirafan bangunan hijau dan kapasiti hospital sehingga 3,000 katil menjelang 2030. 

 

Sukuk ini berdasarkan prinsip-prinsip Islam Wakalah Bi Al-Istithmar dengan Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) bertindak sebagai  penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama, ejen kemudahan dan penasihat penstrukturan kelestarian manakala Maybank Islamic Bhd. merupakan penasihat syariah.

 

Penawaran ini menandakan penerbitan Sukuk Lestari pertama Sunway Healthcare serta sukuk pertamanya yang diberi penarafan yang mencapai penarafan AAIS(CG) dengan prospek stabil oleh MARC Ratings Berhad (MARC). 

 

Kerangka Kewangan Kelestarian Sunway Healthcare diberikan penarafan tertinggi iaitu "Emas" dalam Penilaian Bon Impak oleh MARC, yang menilai impak Penggunaan Hasil terhadap projek-projek dalam empat kategori: akses kepada teknologi terkini dalam perkhidmatan kesihatan, bangunan hijau, kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui. 

 

Presiden Sunway Healthcare, Datuk Lau Beng Long berkata, penerbitan sukuk ini tepat pada masanya dan telah mendapat minat yang tinggi bertepatan dengan profil kredit yang kukuh dan kefahaman pasaran terhadap reputasi Sunway Healthcare yang kukuh dalam sektor kesihatan.

 

"Hasil penerbitan ini akan digunakan untuk sebahagian besar dana hospital kami yang sedang dalam pembinaan. 

 

"Dengan pelan untuk membina tiga hingga lima hospital lagi menjelang 2030, kami akan terus mengejar kecemerlangan klinikal, inovasi perubatan, dan hasil pesakit yang dipertingkatkan oleh perkhidmatan hospitaliti yang cemerlang yang kami berikan kepada pesakit kami," tambah beliau. 

 

Menurutnya, Sunway telah lama menyasarkan agenda kelestarian sejak dari awal dan Sunway Healthcare kini mengikuti bertujuan untuk melakukan yang terbaik kepada alam sekitar dan kepada manusia. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Maybank IB, Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed berkata, penerbitan Sukuk Lestari Berperingkat ini mencatat permintaan yang menggalakkan daripada pelbagai pelabur institusi, mencerminkan minat yang kuat dalam perjanjian kelestarian di rantau ini dan keyakinan terhadap prospek Sunway Healthcare. 

 

"Selaras dengan keutamaan M25+ Maybank, kami bekerjasama dengan pelanggan dalam peralihan mereka ke sifar bersih sambil pada masa yang sama mengurangkan emisi Skop 3 kami dan memacu agenda kelestarian di Malaysia dan ASEAN," katanya dalam kenyataan hari ini.- DagangNews.com