KUALA LUMPUR 10 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Berhad dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.65 sesaham selepas menjangkakan kumpulan itu mempunyai strategi pertumbuhan yang dirancang dengan baik bagi FY23.
Firma itu berkata, bagi pembangunan hartanah, kumpulan itu akan menumpukan pelancaran kondominium mewah di Singapura, memanfaatkan minat belian yang kukuh semasa di sana.
Katanya, bagi penjagaan kesihatan, hospital baharu Sunway SMC Pulau Pinang adalah permulaan yang baik, manakala terdapat cadangan pengembangan lain yang dirancang untuk Sunway Medical Centre Sunway City (SMC SC) dan Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) masing-masing untuk tahun ini.
"Kami juga menekankan bahawa segmen biro kreditnya kembali mencatat keuntungan pada FY22.
“Segmen ini boleh menjadi satu lagi tunjang pertumbuhan bergerak ke hadapan, menggunakan ekosistem Sunway yang luas dan pelbagai sebagai landasan pelancarannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pada Disember 2022, kumpulan itu dikecualikan daripada Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks Syariah FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBMS).
Katanya, pengecualian adalah disebabkan saham tidak memenuhi kriteria kecairan, walaupun saham tidak termasuk dalam indeks itu tetapi ia masih dinilai oleh FTSE Russell.
"Saham itu baru-baru ini menyaksikan peningkatan dalam kecairan pada 2023 dan pengurusan berkongsi bahawa tarikh kemasukan semula paling awal kepada indeks itu adalah pada Disember 2023," katanya. - DagangNews.com