Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Nov. - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya kendaliannya.
Pembukaan kemudahan surau itu adalah termasuk di Negeri Sembilan selari dengan keputusan Jabatan Agama Islam di kawasan dan negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan-kawasan tersebut agar terus patuh kepada SOP keselamatan seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan semua pihak.
"PLUS turut mengingatkan agar pelanggan yang menggunakan surau di lebuh raya supaya mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri secara manual bagi memudahkan urusan pengesanan kontak sekiranya diperlukan," jelas PLUS dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, PLUS turut menasihatkan pelanggan agar membawa kelengkapan solat peribadi kerana kelengkapan tersebut tidak disediakan pada ketika ini.
"Selain itu, pelanggan juga dinasihatkan supaya membawa kelengkapan untuk bersolat seperti telekung dan sejadah sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga ketika bersolat kerana kelengkapan tersebut tidak disediakan buat waktu ini.
"Penanda penjarakan fizikal turut disediakan di setiap ruangan solat di surau serta di kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal 1 meter.
"PLUS juga memastikan semua surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual," tambah PLUS lagi. - DagangNews.com