Suruhanjaya Koperasi sediakan RM20 juta pulihkan koperasi | DagangNews Skip to main content

Suruhanjaya Koperasi sediakan RM20 juta pulihkan koperasi

KUALA LUMPUR 30 Jun - Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) di bawah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi dengan peruntukan RM20 juta bermatlamat bagi memulihkan ekonomi koperasi yang terjejas menerusi penerokaan peluang baharu.

 

Program itu juga antara tiga lagi program lain di bawah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi diketengahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam memulih dan mempergiatkan semula aktiviti ekonomi koperasi.

 

Menurut SKM dalam kenyataan hari ini, tga program lain adalah Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) dan  Program Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-DAPAT). 

 

"TRANSFER menyasarkan koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan serta yang tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu, untuk menceburi bidang perniagaan yang baharu, produktif dan mampu memberikan pulangan yang cepat.

 

"Objektif program ini  adalah bagi membantu koperasi yang terjejas untuk meneroka peluang perniagaan yang baharu bagi menyedia dan meningkatkan sumber pendapatan," kata suruhanjaya itu. 

 

Menurut SKM, ia juga bagi menggalakkan koperasi untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan tidak tertumpu serta bergantung kepada satu sumber pendapatan. 

 

Sasaran ditumpukan kepada koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri seperti hotel, rumah inap, perkhidmatan teksi dan bas, agen pelancongan dan lain-lain.

 

Sebarang maklumat lanjut berhubung program TRANSFER bolehlah terus berhubung dengan ibu pejabat SKM dan mana-mana SKM Cawangan Negeri atau layari portal rasmi SKM di www.skm.gov.my

 

TRANSFER akan dilaksanakan dalam tempoh satu tahun bermula Julai 2021 hingga Julai 2022 kepada setiap koperasi yang layak untuk meneroka dan menceburi perniagaan yang baharu. - DagangNews.com