KUALA LUMPUR 21 Jun - KL Bunkering Sdn Bhd yang merupakan syarikat kerjasama melibatkan Hiap Huat Holdings Bhd dan KL Platform Services Sdn Bhd telah memulakan pembinaan terminal penyimpanan cecair pukal tercanggih bernilai RM100 juta di West Port, Pelabuhan Klang.
Perkembangan itu disokong oleh perjanjian pajakan tanah 46+12 tahun yang signifikan daripada Westports Malaysia Sdn Bhd.
Ia bertujuan memenuhi permintaan Malaysia yang semakin meningkat untuk penyimpanan cecair pukal sambil menekankan kelestarian alam sekitar dan amalan industri yang inovatif.
Terletak di lokasi yang strategik, terminal itu akan memanfaatkan ketersambungan cemerlang Pelabuhan Barat untuk akses yang cekap kepada pasaran tempatan dan antarabangsa.
Dengan kapasiti 123,800 meter padu yang diagihkan merentasi empat puluh satu tangki simpanan , kemudahan itu akan memenuhi pelbagai produk termasuk petroleum, petrokimia dan biofuel, menawarkan penyelesaian penyimpanan serba boleh untuk memenuhi keperluan industri yang pelbagai.
Pengarah Urusan Hiap Huat, Datuk Chan Say Hwa berkata, pihaknya teruja memulakan projek itu yang mewakili pencapaian penting bagi kumpulan itu dan landskap penyimpanan cecair pukal Malaysia.
Beliau berkata, komitmen pihaknya terhadap amalan hijau, digabungkan dengan lokasi strategik dan teknologi termaju meletakkan kami sebagai antara peneraju dalam industri sambil menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan.
"Melalui beberapa inisiatif utama, terminal itu akan mewujudkan dedikasi KL Bunkering terhadap penjagaan alam sekitar.
"Ia akan menggunakan produk mampan yang diperakui sebagai sumber pemanasan utama, dengan ketara mengurangkan kesan alam sekitar.
"Selaras dengan trend kemampanan global, tumpuan juga akan diberikan kepada penyimpanan produk mesra alam seperti biofuel dan bahan yang berkaitan dengan ekonomi pekeliling," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain inisiatif alam sekitarnya, KL Bunkering telah mewujudkan perkongsian strategik dengan Qastalani Sdn Bhd, pemain terkemuka dalam pasaran bitumen Malaysia.
Perkongsian itu termasuk perjanjian kerjasama 46 tahun untuk kira-kira 38% daripada kapasiti fasa pertama, dengan pilihan untuk mengembangkan sehingga 40,000 meter padu.
"Pembangunan terminal itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan anggaran perbelanjaan modal kira-kira RM100 juta dalam tempoh lima tahun.
"Fasa pertama dijangka beroperasi menjelang suku keempat 2025. Pendekatan berfasa ini memastikan proses pembangunan yang mantap dan berskala, membolehkan KL Bunkering memenuhi permintaan penyimpnanan yang semakin meningkat dengan berkesan," katanya. - DagangNews.com