PEROLEHAN kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diberi lampu hijau apabila peruntukan bagi projek tersebut telah pun diperoleh.
Jika semuanya berjalan lancar, pihak TLDM menjangkakan kontrak perolehan tersebut akan dimeterai selewat-lewatnya pada tahun ini.
Fasa ketika ini ialah untuk memuktamadkan syarikat yang akan diberikan kontrak membina kapal-kapal LMS Batch 2 itu berdasarkan spesifikasi ditetapkan TLDM.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, pihaknya berharap program LMS dapat dilaksanakan sepertimana dirancang
“Peruntukan telah diberikan, kita mengharapkan kontrak tersebut dapat dimeterai selewat-lewatnya pada tahun ini dan pembinaan dapat dimulakan pada tahun depan dengan jangkaan 36 bulan untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penutup Eksesais Angkasa dan Samudera (Eksesais ANGSA) Siri 14/23 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar.
LMS Batch 2 akan menjadi perolehan kedua terbesar TLDM selepas projek kapal tempur pesisir (LCS) berdasarkan nilai keseluruhan sebanyak RM6 bilion dengan lapan buah kapal.
Perolehan tiga kapal pertama ini dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.
Berbanding perolehan empat LMS pertama dengan kos RM1.17 bilion, pembelian LMS Batch 2 lebih mahal kerana kapal berkenaan lebih besar dan mempunyai persenjataan lebih lengkap.
TLDM mensasarkan menerima kapal LMS Batch 2 yang pertama pada tahun 2027 disusuli kapal kedua dan ketiga antara enam hingga sembilan bulan selepas itu.
Bagaimana pun, tarikh sebenar penerimaan kapal-kapal berkenaan bergantung kepada proses pembinaannya.
Sebagai kapal peronda pelbagai fungsi, LMS Batch 2 akan dilengkapi dengan peluru berpandu antikapal, sistem pertahanan udara dan torpedo.
Di atas kertas, terdapat tujuh syarikat pembuatan kapal perang mengintai peluang memenangi kontrak LMS Batch 2 TLDM.
Turkiye antara negara yang dilihat bersungguh-sungguh untuk terlibat dalam projek LMS Batch 2 TLDM kerana ini dapat melonjakkan lagi jenama industri pertahanan negara itu.
Firma perkapalan STM (Savunma Teknolojileri Mühendislik ve Ticaret A.Ş) pada tahun lalu telah mengemukakan reka bentuk kapal LMS untuk ditawarkan kepada TLDM.
STM merupakan antara pemain utama dalam industri pertahanan Turkiye dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam pembinaan kapal dan industri berat.
Sehingga kini, ia telah mengeksport kapal ke Pakistan, Ukraine dan Turkmenistan.
Dua lagi syarikat Turkiye ialah Dearsan Shipyard yang menawarkan korvet C92 dan TAIS Shipyard dengan kapal OPV 92 meter.
Bersaing rapat ialah firma Hyundai Heavy Industries (HHI) daripada Korea Selatan yang menampilkan model HDC-2000 Littoral Mission Ship.
Kapal seberat 2,000 tan, panjang 95 meter ini dengan 72 kru mampu mencapai kelajuan 25 knot pada radius operasi sejauh 4,000 batu nautika.
Sementara itu, Abu Dhabi ShipBuilding (ADSB) yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan EDGE, gergasi pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula menampilkan rekabentuk 92M Corvette.
Kapal perang pelbagai peranan itu akan disesuaikan dengan keperluan khusus tentera laut di Asia Tenggara dan direka bentuk dengan dilengkapi untuk melaksanakan pelbagai misi pesisir.
Ia boleh dilengkapi dengan meriam utama sama ada 57mm atau 76mm dan sistem pertahanan udara MBDA VL MICA atau LIG NEX1 M-SAM serta lapan pelancar untuk peluru berpandu antikapal.
Kumpulan EDGE merupakan salah satu pempamer terbesar pada LIMA ’23.
Syarikat Belanda, Damen pula menawarkan LMS yang diasaskan daripada rekabentuk korvet Sigma 9113 untuk menepati keperluan Malaysia.
Damen yang terlepas peluang semasa perolehan LCS TLDM kali ini bergabung dengan syarikat tempatan, Gading Marine yang mana model kapal tersebut dipamerkan semasa LIMA 2023.
Syarikat pembuat kapal terkenal Itali, Fincantieri pula menampilkan rekabentuk daripada keluarga FCX untuk program LMS Batch 2 TLDM
FCX15 sepanjang 88 meter dengan berat keseluruhan 1,500 tan berkemampuan mencapai kelajuan 28 knot dengan radius operasi 4,000 batu nautika.
Pada Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM17.7 bilion untuk MINDEF melibatkan kelulusan perolehan LMS Batch 2 dan pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA).
Menurut Perdana Menteri, perolehan LMS akan dilaksanakan pada tahun ini demi mengukuhkan tahap pertahanan dan kawalan sepertimana digariskan MINDEF.
Kecuali LMS, perolehan LCA telah dimuktamadkan apabila persetujuan pembelian 18 pesawat FA-50 buatan Korea Selatan telah dimeterai semasa Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi pada Mei lalu.
Memenangi kontrak LMS Batch 2 bukan sekadar lumayan, malah membuka peluang luas kepada firma yang terlibat untuk meneroka ruang ekonomi lebih besar di sini.
Walaupun Malaysia bukan negara pembuat kapal tetapi kita mempunyai banyak industri sokongan dan industri hiliran yang kukuh dalam bidang maritim.
Projek LMS Batch 2 apabila dimulakan, ia dapat merancakkan ekosistem ekonomi berkaitan termasuklah selenggaraan kapal.
Sumbangan terbesar adalah memberi peluang pekerjaan apabila kontrak turut melibatkan vendor tempatan sekali gus membangunkan ekonomi negara. - DagangNews.com