Syarikat pembinaan dalam kedudukan positif percepat kemajuan projek diorong operasi lebih baik, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Syarikat pembinaan dalam kedudukan positif percepat kemajuan projek diorong operasi lebih baik, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Syarikat pembinaan berada dalam kedudukan positif bagi mempercepatkan kemajuan projek sedia ada dan bersaing bagi mendapatkan projek akan datang, didorong oleh keadaan operasi yang semakin baik.

 

RHB Investment berkata, antara faktor yang menggalakkan termasuk berakhir pilihan raya di enam negeri, bajet besar sebanyak RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan pada 2024, bekalan tenaga kerja yang stabil dan harga bahan binaan yang terurus.

 

Katanya, nilai projek yang diberikan kepada kontraktor dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 berjumlah RM84.4 bilion, turun daripada RM101.7 bilion dalam tempoh yang sama pada 2022.

 

"Nilai projek yang rendah itu adalah disebabkan ketiadaan projek kerajaan berskala besar.

 

"Kami menjangkakan projek seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang akan membuat penampilannya pada akhir tahun ini seperti yang diganbar oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai tambahan kepada pakej fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemberian projek tebatan banjir, yang pada mulanya dijadualkan pada Jun dan Julai tahun ini, mungkin menawarkan potensi positif.

 

Katanya, projek bangunan bukan kediaman berkemungkinan terus mendapat daya tarikan, dengan RM60 bilion projek diberikan dalam sembilan bulan pertama 2023.

 

"Angka ini mewakili 82% daripada RM73.3 bilion projek bangunan bukan kediaman yang direkodkan pada 2022," katanya.

 

Jika dilihat pada asas tahunan, segmen itu dijangka mencecah nilai RM80.2 bilion pada 2023, didorong oleh permintaan kukuh untuk kemudahan industri seperti gudang dan pusat data.

 

RHB Research mengekalkan pandangan positif terhadap Gamuda Berhad, Kerjaya Prospek Group Berhad dan Sunway Construction Group Berhad sebagai pilihan utama berikutan keterlihatan pendapatan mereka yang membanggakan dalam tempoh tiga hingga enam tahun akan datang.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'beli' ke atas Gamuda (TP RM5.31), Kerjaya Prospek (TP RM1.56) dan Sunway Construction (TP RM2.22).- DagangNews.com