KUCHING 3 April - Syarikat-syarikat perkayuan di Sarawak perlu membayar cukai jualan negeri (SST) baharu antara 1% hingga 2.5% yang dikenakan ke atas eksport produk kayu terpilih berkuat kuasa 1 April.
Produk kayu yang terlibat termasuk papan lapis, papan gentian, kayu gergaji, venir, papan partikel dan serpihan kayu.
Menurut Pengerusi Persatuan Kayu-kayan Sarawak (STA), Datuk Henry Lau, ahlinya hanya menerima pemakluman untuk mendaftar SST pada 21 Mac, walaupun kerajaan Sarawak memutuskan untuk melaksanakannya pada Oktober 2021.
"Ini telah menyebabkan ramai pemain industri perkayuan tidak bersedia dan meninggalkan mereka sedikit masa untuk membuat persediaan," tambahnya.
Dalam rayuannya kepada kerajaan negeri untuk memberikan tempoh tangguh 12 bulan kepada ahli STA untuk kutipan SST, Lau meminta kerajaan tidak mengenakan kadar cukai yang ditetapkan sebaliknya "membenarkan pendekatan secara berperingkat untuk meningkatkan kadar cukai secara beransur-ansur dalam tempoh tertentu selama dua tahun.”
Beliau berkata cukai baharu ke atas produk kayu terpilih boleh membawa kesan yang meluas kepada industri perkayuan hiliran.
Ini termasuk peningkatan kos pengeluaran, penurunan daya saing dan bahagian pasaran, pengurangan pelaburan, pengecilan saiz industri perkayuan hiliran dan akhirnya, kehilangan hasil bagi kerajaan Sarawak.
"Kelangsungan industri perkayuan hiliran dipertaruhkan di sini, apatah lagi untuk mencapai sasaran eksport kerajaan Sarawak sebanyak RM6 bilion dalam produk kayu tambah nilai menjelang 2030," kata Lau dalam laporan yang dikeluarkan pada AGM STA minggu lepas.
Pengenalan SST bagi eksport produk kayu terpilih dibuat empat tahun, selepas kerajaan negeri menaikkan ses pemulihan dan pembangunan kayu kepada RM5 daripada 60 sen semeter padu (m padu) atau meningkat 800% pada 2019. - DagangNews.com