Syarikat perladangan dijangka lapor pendapatan lebih rendah bagi 4QFY22, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Syarikat perladangan dijangka lapor pendapatan lebih rendah bagi 4QFY22, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - CGS-CIMB Research menjangkan harga minyak sawit mentah (MSM) didagangkan antara RM3,700 hingga RM4,200 pada Februari 2023.

 

Bagi keputusan 4QFY22, firma itu menjangkakan syarikat perladangan dari Malaysia melaporkan pendapatan yang lebih lemah disebabkan harga MSM yang lebih rendah dan peningkatan kos.

 

Purata harga MSM turun 2% dari bulan ke bulan dan 24% dari tahun ke tahun kepada RM3,910 satu tan pada 4QFY22, manakala kos pengeluaran meningkat disebabkan oleh gaji minimum yang lebih tinggi sejak 1 Mei 2022 dan kos baja yang meningkat.

 

Bagaimanapun, purata harga MSM untuk Januari 2023 adalah RM3,992 bagi setiap tan merosot hanya 1% dari bulan ke bulan dan ia sejajar dengan ramalan harga MSM firma itu sebanyak RM3,800 bagi setiap tan untuk 2023.

 

"Penurunan harga MSM mungkin terhad dalam tempoh terdekat kerana Indonesia mungkin menggantung beberapa permit eksport minyak sawit untuk mendapatkan bekalan domestik di tengah-tengah kenaikan harga minyak masak menjelang Hari Raya Aidilfitri.

 

"Selain itu, Indonesia merancang untuk meningkatkan mandat biodieselnya kepada 35% pada Februari 2023 berbanding 30% sebelumnya," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu juga menjangkakan beberapa peningkatan dalam eksport minyak sawit Malaysia selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) minggu lepas membatalkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) terhadap Sime Darby Plantation.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat mungkin terdapat penurunan harga MSM pada 2HFY23 berikutan bekalan minyak sawit yang bertambah baik, dengan kerajaan Malaysia telah melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing untuk sektor perladangan pada 17 Januari 2023," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu kerana ia tidak mempunyai pemangkin tetapi disokong oleh hasil dividen yang baik sebanyak 3%. - DagangNews.com