PUTRAJAYA 13 Okt - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengesyorkan supaya hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada Sabtu agar operasi harian sekolah tidak terjejas.
Beliau berkata, pelaksanaan hari mengundi pada Sabtu akan memudahkan persiapan semua pihak terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Secara umumnya kita lihat (hari mengundi) pilihan raya dibuat pada hari minggu, kita harap begitulah pada kali ini supaya tidak jejaskan operasi sekolah.
“(Jika) buat hari Sabtu ia akan memudahkan kerana kalau hari Ahad lain pula kerana ada negeri-negeri yang bersekolah pada Ahad,” katanya.
Radzi berkata demikian bagi mengulas pengoperasian sekolah sekiranya tarikh mengundi PRU15 ditetapkan pada hari persekolahan.
SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRU14 pada Rabu.
Katanya, pihaknya juga akan berbincang dengan SPR mengenai penggunaan sekolah untuk PRU15 dan berharap suruhanjaya itu mengambil maklum perkara berkenaan.
Terdahulu, Radzi menyempurnakan sesi 'flag-off' peringkat ketiga kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL).
Perlumbaan peringkat ketiga ini itu menyaksikan seramai 122 peserta daripada 19 pasukan bersaing di laluan mencabar sejauh 131.9 kilometer bermula dari Dataran Putra, Putrajaya ke Genting Highlands. - DagangNews.com