TA Research semak turun unjuran pendapatan CJ Century Logistics bagi FY23-FY25 antara 29.3% hingga 44.9% | DagangNews Skip to main content

TA Research semak turun unjuran pendapatan CJ Century Logistics bagi FY23-FY25 antara 29.3% hingga 44.9%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - TA Research menyemak turun unjuran pendapatan CJ Century Logistics Holdings Berhad bagi FY23/24/25 antara 29.3%/43.6%/44.9% kesan daripada kadar tambang perkhidmatan logistik yang lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil semakan mendapati bahawa kadar tambang bagi perkhidmatan itu lebih rendah antara 10% hingga 15%. 

 

Bagaimanapun, mereka menjangkakan perdagangan global akan meraih semula momentum apabila Amerika Syarikat (AS) mula mengurangkan kadar bermula tahun hadapan.

 

"Berdasarkan ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pertumbuhan global 2024 dijangka susut kepada 2.9% daripada 3% tahun ini dan ini tidak akan memberi petanda yang baik untuk syarikat logistik.

 

"Biasanya, kadar faedah yang tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah akan mula mengurangkan kuasa beli, sekali gus menghalang kerjasama global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung teras bagi 9MFY23 menguncup sebanyak 59.1% berikutan hasil yang lebih rendah, susut 18.7% dari tahun ke tahun dan kesan hakisan margin keuntungan.

 

Prestasi kurang memberangsangkan itu dikaitkan dengan kecekapan operasi yang lemah kesan penurunan dalam jumlah tambang di samping kadar tambang yang lebih rendah.

 

Bagi tempoh itu, hasil daripada jumlah segmen penyelesaian logistik merosot sebanyak 29.3% didorong segmen penghantaran barang, yang susut sebanyak 49.9%.

 

Ini lebih daripada mengimbangi peningkatan sumbangan daripada segmen perkhidmatan logistik perolehan yang melonjak 15.3% didorong oleh eksport semula penyaman udara dan TV.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' tetapi menyemak turun harga wajar (FV) kepada 50 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com