KUALA LUMPUR 6 Mac - TA Research mengunjurkan Coraza Integrated Technology Berhad meneruskan trajektori pertumbuhannya pada 2023 disokong pasaran pengguna akhir termasuk semikonduktor dan instrumentasi.
Selain itu, firma itu berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan sokongan daripada segmen sains hayat, peranti perubatan, aeroangkasa dan telekomunikasi.
Firma itu menyemak semula pendapatan FY23F/FY24F selepas memasukkan angka FY22 selain memperkenalkan anggaran pendapatan FY25 sebanyak RM25.1 juta.
"Kami bagaimanapun menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 98 sesaham.
"Kami menyukai Coraza kerana prospek pertumbuhan pendapatannya disokong oleh rancangan pengembangannya selain pendedahan kepada industri pertumbuhan tinggi termasuk semikonduktor dan instrumentasi serta hubungan baik bersamsa syarikat multinasional," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa cabaran termasuk ketidakstabilan harga bahan mentah dan ketegangan geopolitik yang menganggu perkembangan ekonomi selain menjejaskan rantaian bekalan.
Terdahulu, untung bersih teras FY22 kumpulan itu sebanyak RM17.2 juta mengatasi unjuran firma itu dan konsensus setahun penuh masing-masing pada 113.7% dan 114.4%.
Firma itu berkata, kejutan yang meningkat adalah disebabkan oleh hasil yang lebih kukuh daripada jangkaan dan margin yang lebih baik.
"Pertumbuhan teguh itu disokong oleh kedua-dua fabrikasi logam kepingan dan segmen pemesinan ketepatan.
"Mengikut pasaran pengguna akhir, sumbangan diterajui oleh kedua-dua semikonduktor dan instrumentasi kerana ia secara kolektif menyumbang 80% daripada jumlah hasil dan diikuti sains hayat serta peranti perubatan pada 14% dan lain-lain sebanyak 6%," katanya. - DagangNews.com