TA Securities nilai saham BWYS bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 27 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

TA Securities nilai saham BWYS bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 27 sen sesaham

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Julai - TA Securities memberikan nilai wajar pengeluar produk logam kepingan dan pembekal perancah, BWYS Group Bhd pada 27 sen sesaham.

 

Penilaian itu menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 22.7% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 22 sen sesaham BWYS yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia 22 Julai 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, BWYS dinilai dengan pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2025 sebanyak 11 kali.

 

"Kelebihan daya saing Utama BWYS adalah rekod prestasi yang mapan dengan rekod perniagaan yang kukuh di seluruh Malaysia, pangkalan pelanggan yang kukuh dengan pelbagai tawaran produk dan jenama yang teguh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

BWYS merancang mengumpul RM56.4 juta daripada IPO yang kebanyakan akan digunakan untuk pembukaan kilang baharu bagi mengembangkan kemudahan pembuatannya bagi produk kepingan logam.

 

Kumpulan itu juga akan membeli jentera serta peralatan baharu termasuk barisan salutan serbuk automatik baharu serta mesin membentuk gulungan dan peralatan berkaitan bagi meningkatkan keupayaan pembuatan kami untuk kekuda bumbung dan sistem rak industri.

 

bwys
BWYS merupakan  pengeluar produk logam kepingan dan pembekal perancah.

 

BWYS juga sedang mengembangkan rangkaian produknya dengan meneroka pembuatan panel poliuretana, yang menawarkan penebat daripada haba dan bunyi, dan juga melaksanakan sistem teknologi maklumat dan komunikasi bagi mendigitalkan proses pengurusan pengeluaran serta inventorinya bagi menambah baik aliran kerja pengeluarannya.

 

Kumpulan itu turut memberi perkhidmatan kepada pembinaan bangunan serta industri pergudangan dan penyimpanan, menawarkan kemudahan kepada pelanggan untuk mendapatkan pelbagai produk daripada satu sumber.

 

Keupayaan ini juga membolehkan ia memenuhi asas pelanggan yang luas iaitu lebih 1,600 pelanggan aktif untuk tahun kewangan berakhir 2022. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: BWYS Group sasar kumpul RM56.4 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Di luar pasaran domestik, Kumpulan mengeksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) dan negara lain termasuk Singapura, Indonesia, Australia, Bangladesh, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei. 

 

IPO BWYS melibatkan terbitan awam sebanyak 256.3 juta saham biasa baharu, mewakili 25% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 100 juta saham sedia ada atau 9.8% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Berdasarkan harga IPO 22 sen sesaham dan saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1,025.2 juta saham, permodalan pasaran kumpulan itu semasa penyenaraian adalah kira-kira RM225.5 juta,” kata BWYS sempena pelancaran prospektus syarikat itu baru-baru ini.

 

Daripada 256.3 juta saham terbitan, 51.3 juta akan ditawarkan kepada masyarakat Malaysia melalui proses pengundian, 61.5 juta kepada pengarah, pekerja dan penyumbang syarikat yang layak melalui peruntukan borang merah jambu.

 

Sejumlah 128.2 juta kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian dan 15.4 juta kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.- DagangNews.com