TA Securities positif terhadap prospek pengembangan Ann Joo didorong penerimaan kontrak baharu | DagangNews Skip to main content

TA Securities positif terhadap prospek pengembangan Ann Joo didorong penerimaan kontrak baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - TA Securities positif terhadap prospek pengembangan Ann Joo Resources Bhd terutama selepas meraih kontrak baharu yang akan melengkapkan operasi terasnya yang sedia ada.

 

Katanya, kumpulan itu semakin hampir untuk masuki sektor infrastruktur utiliti bagi memanfaatkan permintaan elektrik yang semakin meningkat didorong pertumbuhan penduduk yang teguh serta peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri pusat data.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan modal (capex) Tenaga Nasional Bhd (TNB) kira-kira RM15 bilion setahun bagi menaik taraf grid kuasa, sejajar dengan matlamat yang ditetapkan oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR).

 

"Perkembangan ini akan merangsang permintaan untuk produk keluli, kerana lebih banyak pendawaian dan kabel berasaskan keluli diperlukan untuk menyokong peningkatan grid.

 

"Bekerjasama dengan PT Lumintu Insan Mandiri membolehkan kumpulan itu mempercepatkan proses kepelbagaian dan projek infrastruktur utiliti domestik yang lebih selamat, memanfaatkan kepakaran pembinaan rakan konsortiumnya serta memanfaatkan rantaian bekalan keluli," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ann Joo, rakan konsortium terima kontrak bernilai RM298 juta dari TNB bagi pembinaan stesen bekalan elektrik ECRL

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'beli' dan pada masa sama menyemak semula nisbah harga kepada pendapatan (PER_ daripada 11x kepada 12x menjadikan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM1.64 sesaham.

 

Katanya, penilaian itu dalah adil selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk Ann Joo kekal sebagai penerima manfaat sebagai pembekal Utama bahan keluli bagi projek LRT Pulau Pinang disokong daya saing kosnya daripada kilang pembuatan di Prai.

 

"Peningkatan aktiviti pembinaan daripada pemulihan sektor hartanah memacu permintaan yang lebih tinggi untuk produk keluli dan pada masa sama menaik taraf grid kuasa, selaras dengan matlamat NETR oleh TNB, meningkatkan lagi permintaan untuk produk keluli," katanya.- DagangNews.com