TA Securities turunkan unjuran pendapatan TSH Resources bagi FY24-FY26 hingga 15.6% kesan margin rendah | DagangNews Skip to main content

TA Securities turunkan unjuran pendapatan TSH Resources bagi FY24-FY26 hingga 15.6% kesan margin rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - TA Securities menurunkan unjuran pendapatan TSH Resources Bhd bagi FY24-FY26 antara 8.8% hingga 15.9% selepas mengambil kira andaian pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan margin yang lebih rendah. 

 

Katanya, pengurusan bagaimanapun kekal optimis namun berhati-hati terhadap prospek FY24 dan menjangkakan bahawa harga minyak sawit mentah (MSM) masa hadapan dipengaruhi pelbagai faktor seperti peralihan alam penawaran dan permintaan serta turun naik dan paras saham.

 

Firma penyelidikan itu berkata, menurut pihak pengurusan, kumpulan itu akan menjalankan proses penanaman pokok baharu pada kadar yang stabil di tebing tanah yang belum ditanam dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi meluaskan kawasan tanamannya secara progresif.

 

"Kami percaya harga MSM berkemungkinan besar dipengaruhi oleh penuaian besar-besaran kacang soya di Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Selatan.

 

"Peningkatan bekalan di rantau ini, khususnya kacang soya, dijangka memberi tekanan kepada harga MSM," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih TSH meningkat hampir dua kali ganda kepada RM20.63 juta pada 2QFY24 berbanding RM10.56 juta tahun lalu didorong tinggi daripada segmen produk sawitnya, perbelanjaan korporat dan kos kewangan yang lebih rendah, ditambah pula dengan peningkatan sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu dan usaha sama.

 

Hasil bagi suku tersebut bagaimanapun susut 1.6% kepada RM252.5 juta daripada RM256.57 juta pada 2QFY23 disebabkan volum yang lebih rendah bagi BTS dan MSM yang dijual.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), untung bersih TSH meningkat 1.8% kepada RM40.7 juta daripada RM39.9 juta setahun lalu, manakala hasil turun 2.4% kepada RM494.91 juta daripada RM506.87 juta.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga RM1.07 sesaham. - DagangNews.com