TA Securities unjur Hong Leong Bank catat keputusan kewangan cemerlang bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

TA Securities unjur Hong Leong Bank catat keputusan kewangan cemerlang bagi FY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - TA Securities Research mengunjurkan Hong Leong Bank Berhad akan merekodkan keputusan cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22).

 

Firma itu menjangkakan bahawa keputusan bank bertambah baik pada suku keempat disebabkan pertumbuhan pinjaman yang lebih pantas, yang TA percaya akan mengatasi prestasi industri dan melebihi unjuran pengurusan bank sebanyak 6% hingga 7%.

 

"Kami menjangkakan permintaan pinjaman kekal tinggi dalam kategori utama, seperti hartanah kediaman, pinjaman untuk kenderaan pengangkutan, dan perusahaan kecil dan sederhana.

 

"Selain itu, kami juga menjangkakan aktiviti pinjaman semakin meningkat, pendapatan pengurusan kekayaan yang lebih tinggi, dan yuran kad kredit yang lebih tinggi akan membawa kepada pendapatan yuran yang lebih tinggi,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Berdasarkan kepada prestasi semasa, firma itu berkata, aktiviti perdagangan dan pelaburan akan menjadi lebih rendah berbanding FY21.

 

Bagaimanapun, TA meramalkan bank itu akan mencatatkan pendapatan dagangan dan pelaburan yang lebih baik pada 4QFY22.

 

"Kami percaya Hong Leong masih boleh mengekalkan NIM FY22 (margin faedah bersih) melebihi sasaran FY22 lebih daripada 2.1%. 

 

"NIM berada pada 2.16% pada 9MFY22 (sembilan bulan berakhir 31 Mac 2022) berbanding 2.12% setahun yang lalu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM25.20. - DagangNews.com