Tabung Haji sumbang 81 katil ICU untuk hospital seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji sumbang 81 katil ICU untuk hospital seluruh negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan - Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang sejumlah 81 unit katil tilt elektronik bernilai RM1.8 juta bagi menambah keperluan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital terpilih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, sumbangan tersebut daripada program zakat TH melalui Program Afi’at khusus bagi membantu meringankan tanggungan hospital di seluruh negara dalam usaha merawat para pesakit berpendapatan rendah dan golongan asnaf memerlukan.

 

“Walaupun sudah beralih ke fasa pemulihan, saya percaya pihak KKM masih memerlukan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan daripada badan korporat Keluarga Malaysia. 

 

"Justeru, TH sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mengambil inisiatif memberi sumbangan zakat yang pastinya sedikit sebanyak membantu kelancaran dan rawatan pesakit di hospital,” katanya ketika merasmikan penyerahan sumbangan Program A’fiat TH di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah.

 

Yang turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rose Nani Mudin; Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Datuk Dr. Abd. Kahar Abd. Asis; Pengarah Hospital Queen Elizabeth II, Dr. Razak Tambi; Pengarah TH Wilayah Negeri Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said dan Pengarah TH Negeri Sabah, Yusdi Nasip.

 

Menurut Idris, katil ICU diberikan kepada hospital kerajaan terpilih mengikut negeri seperti Selangor (15), Kuala Lumpur (10), Kelantan (14), Kedah (14), Terengganu (3), Perak (5), Negeri Sembilan (3), Melaka (3), Sabah (4), Johor (2), Pahang (2), Pulau Pinang (2), Sarawak (2) dan Perlis (2).

 

"Sejak program Afi’at TH diperkenalkan pada 2012, mesin dan peralatan perubatan bernilai hampir RM6 juta disumbangkan kepada hospital-hospital KKM di seluruh negara.

 

"Sumbangan ini merupakan platform terbaik buat TH mendekati para penerima secara tidak langsung, selain mengeratkan lagi ikatan silaturrahim TH dan KKM," katanya.

 

 

th
Idris Ahmad (tiga dari kanan) ketika penyampaian replika cek Program A'Fiat TH di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah.

 

 

Beliau berkata, TH telah menyumbang 57 buah mesin hemodialisis berjumlah hampir RM2 juta kepada 42 buah hospital kerajaan dalam usaha menangani wabak COVID-19, dua tahun lepas.

 

"Selain daripada program ini, TH terus mempamerkan keprihatinannya dengan penganjuran beberapa program zakat seperti Program Iqra’, Program Mobiliti, Program Ehsan dan Program Ikhtiar. 

 

 

th

 

 

"Program-program seumpama ini jelas memperlihatkan keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf dalam mendepani cabaran COVID-19 yang melanda seluruh negara, khususnya," katanya. - DagangNews.com