TAFI Industries raih kontrak pembinaan kilang bernilai RM9.66 juta di Kuala Langat | DagangNews Skip to main content

TAFI Industries raih kontrak pembinaan kilang bernilai RM9.66 juta di Kuala Langat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - TAFI Industries Berhad melalui TAFI Home & Office Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak RM9.66 juta daripada Alpha Estate Sdn. Bhd. untuk membina sebuah kilang di Kuala Langat, Selangor.

 

Kontrak selama lapan bulan bermula 19 April hingga 18 Disember 2023 itu turut melibatkan pembinaan bangunan pejabat dua tingkat dan satu unit pencawang elektrik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TAFI, Datuk Seri Bryan Wong berkata, kontrak pembinaan itu adalah tambahan kepada kontrak pembinaan awal RM30 juta untuk projek Permas City daripada Buana Tunggal Sdn Bhd bersama-sama dengan anggaran RM6 juta hasil nilai pembangunan kasar bersih unit hartanah tertentu projek berkenaan.

 

Selain itu beliau berkata, mereka juga berjaya meraih kontrak pembinaan Taman Tema RM11 juta sebelum ini daripada TT5 Theme Assets Sdn. Bhd. dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan mereka untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

"Kumpulan itu sedang berusaha mendapatkan lebih banyak kontrak daripada sektor kerajaan dan swasta bagi mengembangkan aliran pendapatan daripada kontrak pembinaan.

 

"Kami akan memanfaatkan TAFI Home & Office dan T.A. Furniture & Projects Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai T.A. Furniture Industries Sdn Bhd) yang memiliki Lesen G7 yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang membolehkan mereka mendapatkan tender bagi projek pembinaan yang tidak mempunyai nilai terhad," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu juga mempunyai satu lagi kontrak pembinaan bernilai RM115 daripada Magna Park Sdn Bhd, yang dijangka mula menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan apabila kerja-kerja fizikal kontrak pembinaan tersebut bermula sama ada pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 atau suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com