Tak kisah PKP, makin ramai dijangka beli kereta | DagangNews Skip to main content

Tak kisah PKP, makin ramai dijangka beli kereta

automotif

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif bagi tahun 2021 ditingkatkan lagi kepada 580,000 berbanding sasaran awal iaitu 570,000.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu turut melebihi sasaran TIV 570,000 yang diletakkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

"MAA menjangkakan TIV akan meningkat daripada 529,000 pada 2020 kepada 570,000 pada 2021 iaitu pertambahan sebanyak 8%, didorong oleh pemulihan aktiviti ekonomi, lanjutan pengecualian cukai hingga 30 Jun 2021 dan kadar faedah pinjaman rendah yang dapat memacu penjualan automotif.

 

"Kami menaikkan ramalan TIV 2021 daripada 570,000 kepada 580,000 dengan pertambahan 10%.

 

"Ini dinilai berdasarkan kepada ramalan jumlah jualan yang lebih tinggi pada Proton (20% yoy) dan Perodua (13% yoy), didorong oleh pelancaran model baharu seperti SUV kompak seperti Proton X50 dan Perodua D55L," jelas CGS-CIMB Research.

 

TIV pada Disember 2020 meningkat 19.5% kepada 68,836 unit berbanding bulan sebelumnya.

 

Peningkatan itu disumbangkan oleh penjualan yang lebih tinggi dalam kedua-dua segmen kenderaan penumpang dan kenderaan komersial kerana pengguna mengambil peluang membuat pembelian susulan penamatan insentif cukai jualan pada 31 Disember 2020.

 

Bagi tempoh suku keempat 2020, sektor tersebut mencatatkan TIV sebanyak 184,121 unit dengan pertambahan 14% tahun ke tahun (8% qoq) sekali gus mengatasi rekod sebelumnya iaitu  181,247 pada suku keempat 2015.

 

MAA bagaimanapun menjangkakan jumlah jualan pada Januari 2021 menjadi rendah susulan ketidaktentuan pasaran berikutan pelaksanaan PKP 2.0 sejak 13 Januari 2021 serta impak banjir di negeri-negeri tertentu di Semenanjung Malaysia.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan penarafan 'neutral' sektor automotif dan menjangkakan keputusan yang baik bagi tempoh suku keempat 2020.

 

"Kami berpendapat bahawa sektor ini berada di landasan yang betul untuk pemulihan pendapatan pada 2021 dengan pertumbuhan keuntungan bersih sektor yang diunjurkan sebanyak 60% berbanding -39% pada 2020," tambah CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com