‘Tambah’ saham AWC, saran CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

‘Tambah’ saham AWC, saran CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham syarikat perkhidmatan dan kejuruteraan, AWC Berhad dengan harga sasaran (TP) masih pada kadar RM0.70 sesaham. 

 

“Kami menyukai AWC kerana buku tempahannya yang kukuh (dianggarkan bernilai RM563 juta menjelang tahun kewangan berakhir Jun 2022), kedudukan tunai bersih sebanyak RM99 juta, perniagaan yang bertahan (terutamanya segmen pengurusan kemudahan) dan penilaian yang menarik,” jelas penganalisis di CGS-CIMB, Walter Aw dalam sebuah nota kajian. 

 

Menurut nota kajian sama, AWC berhasrat untuk mengekalkan prestasi kewangan yang kukuh dari separuh pertama tahun kewangan 2021 (1H21) dipacu oleh pengiktirafan kemajuan yang lebih tinggi di semua bahagian perniagaannya.

 

Jelas Aw, jangkaan itu seiring dengan peningkatan aktiviti pembinaan di pasaran domestik dan antarabangsa AWC seperti Singapura, Abu Dhabi dan Dubai. 

 

CGS-CIMB mendapati kesemua projek utama AWC menghampiri kadar penggunaan 100%, kata Aw. 

 

“Kami difahamkan kebanyakan projek itu sebelum ini ditangguh kerana COVID-19. Seiring dengan perkembangan projek yang lebih tinggi di kesemua segmen, AWC menyasarkan pengembangan margin daripada skala ekonomi yang lebih tinggi dan inisiatif pengawalan kos. 

 

“Dalam pada itu, kami percaya margin bagi bahagian kemudahannya (57.5% daripada hasil 1H21) akan dilonjakkan oleh kadar konsesi tahunan kepada RM59 juta daripada RM52 juta sebelum ini. 

 

“Kadar konsesi yang lebih tinggi untuk baki lima tahun ditetapkan sebagai sebahagian daripada pembaharuan kontrak konsesi selama 10 tahun yang diberikan pada tahun 2016,” ujarnya lanjut.

 

Bagi tempoh 1H21, AWC berjaya memperoleh beberapa kontrak baharu bernilai RM208 juta dengan buku tender sehingga RM800 juta. 

 

Ini sekali gus meningkatkan buku tempahannya kepada RM957 juta sehingga penghujung tahun 2025, tambah Aw. 

 

“Kami percaya bahagian kemudahannya (55% hingga 60% daripada jumlah buku tempahan) menyumbang kepada sebahagian besar buku tempahan sedia ada, diikuti oleh kontrak bahagian lain seperti persekitaran (21.4%), kejuruteraan (23.6%), rel dan pelaburan (4%).

 

“Pada masa akan datang, AWC berhasrat untuk membuat tender bagi lebih banyak projek dengan kadar kejayaan sekurang-kurangnya 10%,” ujar Aw lanjut.

 

Bagi tempoh kewangan sama, AWC mencatatkan kedudukan tunai bersih sehingga RM99.3 juta iaitu pada kadar 27.9 sen sesaham yang merangkumi 56.7% daripada permodalan pasarannya ketika ini.

 

Aw melihat kedudukan nilai yang kukuh itu membayangkan keupayaan kumpulan syarikat berkenaan untuk membayar dividen selain menyediakan peruntukan cukup bagi peluang penggabungan dan perolehan (M&A), sekiranya berlaku. 

 

CGS-CIMB sebelum ini menjangkakan sebanyak 1.5 sen, 2.0sen dan 2.5 sen sesaham akan dibayar sebagai dividen oleh AWC, masing-masing menjelang FY21, FY22 dan FY23. 

 

Setakat 12.14 tengah hari, nilai saham AWC menokok 1 sen kepada 64 sen. - DagangNews.com