Tan Chong Motor dijangka catat peningkatan jualan bermula 2025 dengan pelancaran model baharu - HLIB | DagangNews Skip to main content

Tan Chong Motor dijangka catat peningkatan jualan bermula 2025 dengan pelancaran model baharu - HLIB

Pelancaran model baharu e-Power Nissan Kicks pada 4QFY24 diramal melonjakkan jumlah jualan Tan Chong Motor bermula 2025 dan ke atas.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - Tan Chong Motor Holdings Bhd dijangka mencatatkan peningkatan jumlah jualan mulai 2025 dan seterusnya, disokong oleh pelancaran e-Power Nissan Kicks pada 4QFY24, serta model GAC baharu di Vietnam.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kumpulan itu juga dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan ringgit baru-baru ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Sebelum ini, kumpulan itu merekodkan kerugian bersih yang lebih tinggi sebanyak RM55.83 juta walaupun mencatatkan hasil sebanyak RM1.12 bilion pada 1HFY24 kesan daripada volum jualan dan margin kumpulan yang lemah.

 

Bagi pasaran tempatan, HLIB berkata, jualan menyusut sebanyak 9.5% kepada 4,811 unit pada 1HFY24 disebabkan persaingan pasaran yang sengit dan kekurangan pelancaran model baharu Nissan.

 

Keuntungan operasi susut 27.3%, disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan kejatuhan nilai ringgit.

 

Bagaimanapun, HLIB berkata, pasaran Malaysia akan kekal kompetitif berikutan pelancaran baharu yang menarik oleh pelbagai pengeluar peralatan asli (OEM).

 

Tan Chong Motor juga memberi panduan, mereka telah merancang gabungan "baik" bagi model e-Power dan enjin pembakaran dalaman (ICE) baharu dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memacu pertumbuhan jualan.

 

Bagi operasi di Vietnam, HLIB berkata, jumlah jualan telah merosot 89.8% kepada hanya 145 unit pada 1HFY24.

 

Ini disebabkan pemberhentian pengedar MG berkuat kuasa pertengahan 2024.

 

“Kumpulan itu terus memanfaatkan trak pikap TQ dan bas Kinglong bagi mengekalkan operasi, serta pengedar GAC baru-baru ini melancarkan model GS8 dan M8.

 

"Jangkaan pelancaran e-Power baharu dan model GAC baharu di Vietnam akan meningkatkan jumlah jualan kumpulan itu dari 2025 dan seterusnya," katanya.

 

Sementara itu, HLIB menjangkakan prestasi bercampur-campur bagi pasaran luar negara kumpulan itu. 

 

Persekitaran pasaran Myanmar menyaksikan peningkatan dengan keuntungan kecil manakala Laos dan Kemboja kekal lemah berikutan sentimen pengguna yang merosot.

 

"Pelancaran model e-Power Nissan X-trail baru-baru ini di Laos dan penambahan inventori model Nissan Navara di Kemboja dijangka menawarkan sedikit penangguhan," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 65 sen sesaham. - DagangNews.com